Foto via blogspot.com

FIRMAN Allah SWT di dalam surah Al-Imran ayat 185, yang berbunyi setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Itulah akhiran hidup di dunia dan permulaan hidup di akhirat bagi kita semua umat Islam. Dan apabila terpisahnya nyawa dari jasad maka terputuslah juga perhubungan diri dengan dunia yang fana kecuali tiga perkara yang boleh menjadi penyambungnya. Doa dari anak yang soleh, Ilmu baik yang dipergunakan orang lain serta sedekah yang dimanfaatkan.

Semalam, hujan turun lebat di kawasan rumah akak, cuaca juga redup seperti sedang berduka lara. Sebentar kemudian menerima perkhabaran kembalinya kerahmatulllah seorang tokoh perniagaan negara yang tersohor, Allahyarham Tan Sri Mustapha Kamal.

Teringat dulu pernah berjiran dengan sepupu arwah di Banting dan pernah juga terserempak dengan arwah apabila dia berkunjung ke rumah sepupu rapatnya itu.

Komen Pakcik Dollah jiran lama, arwah seorang yang sangat sederhana dan sangat suka membantu siapa juga terutama saudara mara. Kalau tidak masakan dia nak singgah umah Pakcik yang kecik ni Fiza.

Pengasas syarikat Pemaju hartanah MK LAND ini boleh dikategorikan seorang hartawan yang dermawan.

Bersama Persatuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) dulu, arwah pernah menyuarakan kebimbangan dan rasa terkilannya kerana banyak syarikat-syarikat antarabangsa yang melabur di Cyberjaya, bandar yang dibangunkannya, kurang mengambil anak melayu sebagai pekerja atas alasan kekangan penguasaan Bahasa Inggeris.

Katanya ketika itu, ini satu kerugian besar dan beliau mahukan PAUiTM untuk memikirkan satu kaedah agar masalah ini dapat di atasi segera.

Maka kerjasama antara EMKAY dan PAUiTM dimulakan iaitu program kursus Bahasa Inggeris khas kepada graduan baik UiTM.

Graduan-graduan yang dipilih diberikan kursus khas Bahasa Inggeris selama tiga hingga 6 bulan yang ditanggung sepenuhnya oleh EMKAY sebelum diserapkan sebagai kakitangan di dalam mana-mana syarikat antarabangsa yang beribu pejabat di Cyberjaya.

Bagi akak, ini antara contoh sedekah yang benar-benar telah dimanafaatkan. Peluang dan ruang yang dapat diberikan kepada anak-anak ini untuk mendapat pekerjaan di syarikat antarabangsa.

Semoga dengan peluang ini, mereka dapat mengubah nasib diri dan keluarga.

Tan Sri Mustapha Kamal memang telah tiada lagi di dunia, tetapi legasi Allahyarham pasti akan diteruskan dan menjadi ingatan serta panduan mereka yang masih ada.

Sememangnya manusia mati meninggalkan NAMA. Tiada lain yang dapat dihadiahkan kini buat arwah, hanya doa agar rohnya dicucuri rahmat dan dikasihani serta ditempatkan bersama para solihin.

Atas segala jasa baiknya, Allah ampuni dosa-dosanya.

Semoga segala sumbangan yang diberikan arwah bagi membantu anak bangsa selama ini, menjadi pahala yang mengalir berterusan buat nya di alam sana.

Al Fatihah

— BebasNews

Leave a Reply