Ketua Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail (tengah) hadir merasmikan Karnival Ummah Bestari, baru-baru ini

ANTARA premis yang sering menjadi tumpuan ramai suatu ketika dulu adaah Pertama Kompleks, Kuala Lumpur. Kini pusat membeli belah yang beroperasi sejak 1976 itu bukan lagi menjadi pilihan utama para pengunjung kerana banyak lokasi lain yang boleh dikunjungi.

Namun bagi menarik perhatian orang ramai, di tingkat tiga bangunan tersebut iaitu di Dewan Lay Park, Pertama Kompleks diadakan acara Karnival Ummah Bestari, sejak 22 Julai lalu hingga 31 Julai ini

Karnival yang menyediakan lebih 40 booth itu disertai oleh usahawan Islam tempatan yang menjual pelbagai produk dengan harga yang berpatutan.

Ketua Unit Penyelarasan Karnival Ummah Bestari, Muhammad Hafidz Ismail berkata, penganjuran karnival bukan sekadar memberi ruang kepada peniaga untuk menjual produk, malah acara tersebut juga dapat membina ukhuwah sesama insan apabila ‘berkampung’ selama 10 hari di situ.

“Selain memberi ruang untuk peniaga menjual, pelbagai acara menarik diketengahkan sepanjang karnival berlangsung. Kita turut mengadakan aktiviti taranum, mewarna, azan, hafazan untuk kanak-kanak.

“Sebenarnya objektif utama penganjuran Karnival Ummah Bestari anjuran Naurah Care Malaysia dan Rabbani Empire Resourses dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ikhlas.Com dan Uda Holding adalah untuk menaikkan semula irama nasyid tempatan.

“Kita nak menyemarakkan semula artis nasyid dan juga pemain-pemain muzik Islamik. Inilah pendekatannya, kita panggil kumpulan nasyid bermula dari Nada Murni sampailah kepada kumpulan nasyid terkini untuk membuat persembahan sepanjang karnival berlangsung,” katanya sewaktu ditemui selepas pelancaran yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail.

Karnival Ummah Bestari berlangsung selama 10 hari di tingkat tiga, Pertama Kompleks.

Tambah Muhammad Hafidz, selain mengetengahkan artis nasyid, karnival tersebut juga bertujuan untuk berdakwah kepada orang ramai.

Salah satu usaha yang dilakukan oleh Naura Care Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) adalah menerbitkan buku Iqra Bacalah bagi kegunaan masyarakat Islam di Malaysia.

“Kita berusaha untuk memastikan setiap rumah ada satu Iqra. Kalau boleh kita nak semua orang boleh membaca al-Quran. Justeru itu jugalah diadakan Iqra Hour yang disertai oleh 10 buah sekolah rendah pada Isnin, baru-baru ini,” jelasnya tentang salah satu program Karnival Ummah Bestari.

Dalam usaha untuk berdakwah, setiap hari sepanjang karnival berlangsung, seramai 30 golongan asnaf dikenal pasti untuk menerima bantuan.

“Setiap hari, seramai 30 penerima dalam kalangan asnaf menerima sumbangan barang keperluan asas termasuk beras serta dua beg makanan yang boleh menampung dalam masa dua bulan.

“Untuk pemberian kepada asnaf, kita mendapat tajaan daripada pelbagai pihak. Kita dapat senarai nama daripada MAIWP. Kita ada 10 hari, setiap hari 30 orang dan jumlah keseluruhan 300 orang penerima sumbangan,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply