
DIA pernah digelar wanita terpantas pantas di Asia dalam acara trek pada tahun 80-an. Sukar bagi atlet lain bertarung dengan atlet cantik tinggi lampai dari Filifina ini. Namun kini Lydia de Vega, 57, sedang bertarung nyawa menderita barah payu dara tahap empat.
Memetik GMA News, keadaan Lydia kini sangat kritikal. Anaknya, Paneng Mercado, memaklumkan dalam media sosial ibunya tenat setelah empat tahun melawan barah yang mula dikesan pada 2018. Lydia yang bekerja sebagai jurulatih atlet kanak-kanak di Singapura kini berada di hospital di Manila.
Dengan keadaan penyakitnya semakin teruk, keadaan diri Lydia juga semakin merosot walau pun telah menjalani beberapa prosedur perubatan, termasuk pembedahan otak. Malah Paneng juga memohon bantuan kewangan daripada orang ramai untuk rawatan ibunya.
Lydia memiliki segala-galanya, wajah cantik, bijak, serta menjadi contih ikutan kanak-kanak yang ingin berjaya seperti dirinya dalam sukan, khususnya dalam acara trek. Dia adalah bintang bersinar bukan sahaja untuk Filifina tetapi juga menjadi kebanggan Asia dan Asia Tenggara.
Pada Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 1981 di Manila, pada usia 17 tahun, Lydia mula menampilkan kecemerlangan. Lariannya yang pantas bagai kilat memukau jutaan penonton. Dia menang bergaya acara larian 200 meter dan 400 meter.
Sepanjang 15 tahun kariernya sebagai atlet, Lydia menang lebih 40 pingat emas di arena antarabangsa. Rekod yang sukar diatasi oleh mana-mana atlet di rantau ini. Dia dianggap sebagai pengganti kepada ratu pecut Taiwan, Chi Ching dan atlet India, PT Usha.
Walau pun Lydia atlet Filifina, namanya dikenali dan diminati di negara ini. Ini kerana kemunculannya seiring dengan pelari pecut negara seperti Mumtaz Jaafar, G Shanti, V Angamah dan Saik Oik Cum. Malah atlet negara ini pernah berentap dengan Lydia.
Pada Sukan SEA 1981, Lydia mempersona penonton dengan kepantasan lariannya pada saingan akhir 200 meter yang turut disaingi oleh Mumtaz Jaafar. Lydia menuju garis penamat dengan mencatat masa 23.54 saat mengatasi Mumtaz yang mecatat 24.21 saat.
Lydia mengulangi kecemerlangan ini dalam acara 400 meter dengan mencatat 54.75 saat, mengatasi antaranya dua atlet Malaysia, V Angamah dan Saik Oik Cun yang masing-masing mencatat 55.76 dan 56.65 saat.
Kecemerlangan Lydia terus unggul pada Sukan Asia di Delhi 1982 apabila memenangi pingat emas dalam acara 100 meter. Kejayaan sama diulangi pada Sukan Asia di Seoul 1986.
Dalam Kejohanan Atletik Asia di Kuwait pada 1983, Lydia menang emas dalam acara 100 meter dan 200 meter. Kejayaan ini diulangi dalam kejohanan sama di Singapura pada 1987.
Pada Sukan SEA 1987 di Jakarta, dia mempertahan kecemerlangan dalam acara 100 dan 200 meter dengan memenangi pingat emas. Dia mencatat rekod baharu 11.28 saat dalam acara 100 meter. Malah dia juga menang dalam acara lompat jauh.
Lydia, yang pernah mewakili negaranya ke Sukan Olimpik di Los Angeles 1984 dan Seoul 1988 berehat daripada dunia atletik antara tahun 1989 hingga 1991. Waktu ini digunakan untuk menamatkan ijazah dalam bidang pendidikan jasamani dan berkahwin.
Dia kembali semula ke atas padang pada Sukan SEA 1991 di Manila dengan mendapat sambutan sangat meriah. Peminat sudah sangat rindu dengan kemunculannya. Mereka beteria-teriak memanggil namanya ketika membuat kemunculan.
Sekali lagi Lydia membutkikan dia masih yang terhebat. Dalam acara 100 meter walau pun ketinggalan pada peringkat awal, dia memotong pelari Malaysia G Shanti dari Malaysia serta rakannya dari Filifina, Elma Muros, kira-kira 60 meter sebelum garis penamat. Lydia mencatat 11.4 saat untuk emas dan Shanti 11.63 untuk perak.
Kejayaan masa lalu tinggal kenangan namun Lydia tetap menjadi kebanggaan dan ingatan rakyat Filifina. Kini dia sedang bersaing dengan hidup atau mati. Rakyat Filifina khususnya berdoa agar dia mampu menang dalam saingan yang sangat sengit dan mencabar dalam hidupnya.
— BebasNews

PERNAH berkhidmat 33 tahun di Utusan Melayu mulai 1980 hingga 2013 dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Ketua Pengarang.
Memegang pelbagai jawatan ketika bertugas termasuk Pengarang Mingguan Malaysia dan Ketua Biro Alor Setar.
Berkelulusan Diploma Sebaran Am ITM 1979 dan Sarjana Kewartawanan Universiti Boston 1984.