TAK ada angin dan ribut tiba-tiba pelakon Bront Palarae dikatakan nak bawa diri ke Switzerland awal Ogos ini. Merajuk dengan industri ke? Namun kata Bront Palarae, bukan dia merajuk sebaliknya pemergiannya bagi mewakili filem lakonannya, Stone Turtle yang yang tercalon untuk empat kategori dalam Festival Filem Antarabangsa Locarno, Switzerland.

“Habis saja tayangan premier Pengabdi Setan 2 di , Jakarta, Indonesia, saya dan pelakon, Asmara Abigail akan berangkat terus ke Switzerland pada 3 Ogos ini. Dalam festival ini saya dan bintang Indonesia, Abigail tercalon untuk kategori Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik.

“Pengarah Woo Ming Jin pula tercalon untuk anugerah utama yang dikenal sebagai Golden Leopard, dan kategori Anugerah Pengarah Terbaik. Doakan kami berjaya.”

Penyertaan Stone Turtle ke festival tersebut sekali gus mencipta sejarah sebagai filem bahasa Melayu pertama bertanding dalam acara yang dianggap antara lima festival filem paling berprestij di dunia. Selain Bront dan Abigail, filem Stone Turtle terbitan Greenlight Pictures turut dibintangi Amerul Affendi, Maisyarah Mazlan, Samara Kenzo dan Alison Khor.

Bront hadir bersama anak kesayangannya, Adeena Imani di Malaysia Golden Global Awards 2022 di Istana Budaya, baru- baru ini.

Selain popular di Malaysia, Bront Palarae juga cukup senang berlakon di Indonesia. Antara filem yang dibintanginya iaitu Ayat-Ayat Cinta 2, Headshot, My Stupid Boss dan Gundala.

Sekembalinya ke Malaysia, Bront akan sibuk dengan promosi filem pengarah terkenal Indonesia, Joko Anwar iaitu Pengabdi Setan 2 yang akan ditayangkan di Malaysia pada 11 Ogos ini.

Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin,43, menambah,“Lepas promosi filem, saya ke lokasi penggambaran filem Bakara arahan Adrian Teh. Ia cerita perang dan peristiwa yang dipaparkan cukup membanggakan hingga buat saya teruja untuk berlakon. Filem ini harap ditayangkan pada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun depan. Saya nak juga legasi dan filem lakonan saya ditayangkan pada hari istimewa sebegini. Sebelum ini asyik ulang tayang Sarjan Hassan dan Paskal. Harap-harap lepas ini Bakara pula kerana filem ini akan menaikkan lagi semangat patriotik kita.”

Bercakap mengenai watak, kata Bront,”Mula-mula jadi pelakon memang saya pentingkan watak.Ialah kita nak tunjuk kemampuan kita bawa pelbagai watak. Sekarang orang dah kenal saya, kini saya lebih pentingkan jalan cerita sesebuah filem dan bukannya watak yang ditawarkan.

“Saya pilih projek yang ceritanya best dan juga cerita yang saya rasa tak pernah buat atau cerita yang dah lama tak dibuat atau cerita yang sepatutnya dibuat. Pada saya cerita lagi penting kerana kita lihat orang beli tiket bukan nak tengok saya bawa watak apa. Tapi penonton beli tiket nak tengok cerita tersebut. (sambil ketawa).”

Selain berlakon, Bront Palarae juga sibuk dengan produksi syarikatnya, Pixel Play Entertainment yang sudah beroperasi selama sembilan tahun. Terbaru produksinya akan sibuk dengan filem terbarunya, Dawn Raid sebuah peristiwa PNB yang mengambil-alih Guthrie di Bursa saham London.

Menyentuh mengenai filem Mat Kilau yang kutipannya sudah mencecah 90 juta, ujar Bront Palarae selaku penerbit filem,“Kutipan luar biasa ini mengembalikan keyakinan produser dan pekerja-pekerja industri bahawa khalayak di negara kita masih mahu kepanggung. Mereka akan menyokong filem kita… kalau kita dapat hasilkan filem yang best.

“Dua tahun kita dan seluruh dunia dilanda covid-19 ramai yang putus harapan dan bertukar bidang. Penangan filem Mat Kilau memberi satu inspirasi untuk semua orang termasuk saya selaku penerbit. Sebelum ini, saya pun rasa ragu-ragu nak buat filem… ada ke sambutan?

“Sebelum ini bila nak buat filem dunia persilatan, produser cukup takut jika tidak mendapat sambutan. Sekarang dah terbukti… buat dengan cara betul… kena dengan selera… pasti ada sambutan.”

Selain berlakon, Bront yang juga penulis lakonlayar, pengarah filem, penerbit, dan pengacara kini bahagia bersama isterinya, Rozi Izma serta anaknya, Adeena Imani, 2 tahun. — BebasNews

Leave a Reply