Poster filem 'Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.' (Ihsan Media Sosial)

AGAK mengejutkan dunia perfileman Melayu apabila filem berdasarkan sejarah ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ (MKKP) berjaya meraih jualan tiket ‘boxoffice’ hampir RM100 juta selepas sebulan ditayangkan di pawagam Malaysia, Singapura dan Brunei.

Apa yang dilaporkan ialah selepas 33 hari ditayangkan sejak 23 Jun 2022, filem MKKP arahan Syamsul Yusof (anak pengarah Datuk Yusof Haslam) keluaran Studio Kembara bermodalkan RM8 juta itu berjaya meraih RM90 juta.

Syamsul, 38, yang bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan keajaiban sambutan luar biasa penonton terhadap filem berdasarkan kisah sejarah pahlawan Pahang menentang penjajah Inggeris di negeri itu sekitar tahun 1895.

Pangarah muda itu percaya lazimnya filem yang mendapat sambutan hebat akan dilanjutkan tayangannya di pawagam dan ini membayangan filem MKKP juga berpontensi mencapai ke arah matlamat tersebut.

MAT KILAU (Ihsan Media Sosial)

Maka tidak hairanlah jika filem MKKP berjaya meraih jualan tiket sehingga melebihi RM100 juta apabila mendapat peluang dilanjutkan tayangnya di pawagam kelak?

Kutipan jualan tiket tertinggi filem MKKP mengatasi filem ‘Munafik 2’ juga arahan Syamsul dan filem antarabangsa ‘Avengers: Endgame’ berjumlah RM87 juta yang ditayangkan di Malaysia sebelum ini.

Justeru ramai yang tertanya-tanya di manakah rahsia kekuatan ‘magnet’ filem MKKP sehingga berjaya mendapat sambutan luar biasa sedemikian rupa?

Apa yang dapat dibuat kesimpulan terhadap kejayaan filem MKKP ialah daya kreativiti pengarahnya Syamsul yang berani menongkah arus melanggar fakta sejarah sebenar arwah Mat Kilau (kelahiran Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang), termasuk produksi mereka-reka ‘props’ (peralatan) yang tidak wujud pada zaman penentangan para pahlawan Pahang terhadap penjajahan Inggeris.

  Kemudian Syamsul menjadikan populariti pahlawan itu hanya sebagai asas cerita, manakala majoriti ‘scene’ (babak) berikutnya ialah hanya fiksysen atau rekaan semata-mata yang tidak wujud dalam sejarah, maka filem MKKP hanya layak dijadikan bahan hiburan tetapi bukan sebagai rujukan sejarah para pelajar di bangku sekolah atau mahasiswa universiti.

Selain itu kekuatan filem MKKP terletak kepada aspek kreativiti visual merakam sudut penggambaran artistik, selain ‘editing’ (suntingan) yang pantas terutama ketika pertarungan bagi mengelakkan kebosanan penonton, berbanding dengan kebanyakan filem Melayu lain yang terlalu panjang pada sesuatu ‘scene’ sehingga membosankan.

Filem MKKP dibintangi oleh pelakon utama Datuk Adi Putra (Mat Kilau) serta dibantu oleh pelakon lain seperti Beto Kusyairy (Wahid), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) dan Khir Rahman (Usup), di samping pelakon lasak handalan dari Indonesia, Yayan Ruhian (Toga).

Pelakon handalan lain yang turut memperkuatkan filem MKKP ialah Datuk Rahim Razali (Mufti Pahang, Haji  Montok @ Haji Uthman bin Senik), Datuk Jalaluddin Hassan (Dato’ Haji Muhammad), Shaharuddin Tamby (Dato’ Bahaman Orang Kaya Semantan), Wan Hanafi Su (Tok Gajah @ Imam Rasu bin Shahrum), Mubarak Majid (bapa Yassin), Ellie Suriaty (Salmah ibu Yassin), Namron (Haji Sulong Semantan) dan ramai lagi.

Oleh kerana filem MKKP banyak mencetuskan kontroversi apabila didakwa tidak menghormati fakta sejarah, tetapi itu tidak menjadi masalah terutama bagi pengarahnya, kerana lagi banyak kontroversi bermakna lebih banyak ‘publisiti’ percuma bersesuaian dengan strategi pemasaran untuk melariskan tontonan filem tersebut.

Adi Putra berlakon watak Mat Kilau bertarung dengan askar Sikh upahan Inggeris dalam filem ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.’ (Instagram: Thehitman Nazri).

Namun perlu diingat bahawa jika ada perancangan untuk membuat sambugnan filem ‘Mat Kilau 2’ nanti, kita harap produser dan pengarahnya janganlah ulangi perbuatan tidak menghormati fakta sejarah semata-mata kerana mahu mengaut keuntungan.

Ini bukanlah bermakna apabila terlalu patuh kepada fakta sejarah, maka filem bercorak sedemikian akan menjadi filem dokumentari pula, sedangkan kejayaan sesebuah filem komersial untuk tayangan pawagam meskipun berasaskan kisah sejarah masih boleh digarap dengan menarik menerusi kreativiti sang pengarahnya.

Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr.Teo Kok Seong menerusi sebuah artikelnya mencatatkan bahawa sering berlaku atas nama filem sejarah, yakni khayalan yang diilhamkan daripada kejadian sejarah yang benar-benar berlaku, biarpun cerita rekaan sahaja, ia masih tidak terlepas daripada tuntutan sebenar sejarah.

“Ini kerana ia masih terikat dengan sejarah tertentu yang tidak boleh sesekali mengandungi fakta salah,” catat ahli akademik tersebut.

Menurut beliau, walaupun atas nama khayalan sejarah, masih ada keperluan bagi memastikan ia harus mengandungi fakta sejarah di dalamnya untuk memberi bentuk sejarah sebenar kepadanya. Ini penting agar penonton tidak terpedaya bulat-bulat dengan cerita yang sengaja direka-reka di dalamnya.

“Natijahnya di sini ialah perlu ada kesetiaan kepada fakta sejarah. Ia penting sebab kegagalan berbuat demikian bukan sahaja satu kesalahan, lebih dahsyat lagi ia boleh membawa kepada banyak kemudaratan,” tegasnya.

— BebasNews

Leave a Reply