FILEM bahagian keempat siri adiwira Marvel, Thor, “Thor: Love and Thunder” disahkan tidak akan ditayangkan di Malaysia, umum dua pengendali pawagam ternama di negara ini, hari ini.
Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas mengumumkan berita yang pasti menghampakan ramai peminat fanatik siri filem berkenaan menerusi hantaran laman sosial Facebook masing-masing.
GSC dalam pengumuman itu menyebut, “Thor: Cinta dan Xde (Tiada – diterjemahkan ke bahasa Melayu daripada Thor: Love and Thunder). Secara rasminya.”
Dalam sekeping gambar, tertera ayat lain dalam bahasa Inggeris berbunyi, “Pelanggan-pelanggan yang dihormati, sila maklum bahawa Disney baru memaklumkan, “Thor: Love and Thunder” terbitan Marvel Studios tidak akan ditayangkan di Malaysia pada akhirnya.
“Kami menghargai kesabaran anda dan kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul.”

Hanya tiga patah hantaran TGV pula yang menyebut, juga dalam bahasa Inggeris, “kami sudah cuba.”
Hantaran itu disusuli sekeping gambar dengan keterangan ringkas dalam bahasa pasar, “Thor: Love & Thunder” (perkataan dipalang). Sorry Gais (Maaf kalian).

Filem Thor yang berdasarkan komik Marvel lakonan Chris Hemsworth dan arahan Taika Waititi ini diedarkan oleh Walt Disney Studio Motion Pictures.
Filem yang mula ditayangkan di Amerika Syarikat pada 8 Julai lalu ini merupakan sambungan “Thor: Ragnarok” (2017), “Thor: Dark World” (2013) dan “Thor” (2011).
Turut membintanginya ialah Christian Bale selaku pendukung watak jahat, Gorr yang turut pernah melakonkan adiwira pesaing Marvel, DC iaitu Batman dalam trilogi “Batman Begins”, “The Dark Knight” dan “The Dark Knight Rises” (2005, 2008 dan 2012). — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.