Poey bersama peminat di Bengkalis baru- baru ini.

SEJAK diumumkan negara menuju endemik dan semua orang bebas untuk bergerak ke luar negara, Poey Stings antara penyanyi yang cukup gembira. Kini Poey `laku keras’ dengan tawaran mengadakan persembahan di Kepulauan Riau, Indonesia.

“Sejak bulan Mei saya dah sibuk dengan tawaran menyanyi disana. 13 hari saya berada di sana untuk membuat persembahan di Batam, Tanjung Batu, Tanjung Balai, Pualau Alai dan balik semula ke Batam sebelum balik semula ke Malaysia.

“Bulan Jun lalu saya pergi lagi selama 16 hari hari kerana dijemput mengadakan persembahan di Batam, Pekan Baru, Dumai, Bagan Siapiapi, Bengkalis, Pakning dan balik semula ke Batam dan barulah balik Malaysia. Nak ikut tak larat sebab ada yang kami ikut jalan darat seperti dari Pekan Baru ke Dumai dan Bagan Siapiapi jauhnya hampir tujuh jam.

“Tapi fikirkan rezeki, saya redho dan bersyukur rezeki saya masih ada lagi. Saya juga tak sangka masih diterima peminat disana. Bulan Julai baru-baru ini, saya dijemput buat persembahan di Batam selama seminggu. Alhamdulillah kerana saya masih diterima dan masyarakat di sini semuanya masih meminati lagu-lagu kumpulan Stings,” kata Poey Stings atau nama sebenarnya, Hasri Hashim, 51.

Poey bersama isteri tercinta

Bulan Ogos ini Poey akan membuat persembahan di Kedah (13 Ogos) dan 16 Ogos pula beliau akan berada di Tawau. Manakala 17 hingga 20 Ogos, Poey turut terlibat dalam Festival Adat dan Budaya Nusantara I-Bali. Poey akan membuat persembahan dihadapan Raja Bali dan Pengiran Jogjakarta.

Poey yang popular dengan lagu Dalam Diam Aku Menyintaimu, Adakah Kau Setia dan Seandainya Tuhan Mengizinkan menambah,”Sebelum berlakunya pandemik dah empat tahun berturut-turut sejak 2016 saya sering berulang alik, Malaysia ke Kepulauan Riau, Indonesia kerana mengadakan persembahan. Kemudian saya rehat selama dua tahun ekoran pandemik covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Show disana tak sama macam Malaysia. Setiap kali persembahan saya akan menyanyi antara lapan hingga 10 buah lagu… dah macam konsert kena nyanyi banyak lagu. Sambutan peminat jangan cakaplah, ibaratnya saya ini penyanyi yang cukup popular dan bersyukur kerana ribuan penonton yang datang untuk menyaksikan persembahan saya.’’

“Saya juga sering dijemput untuk buat persembahan oleh walikota (Datuk Bandar), bekas Datuk Bandar dan gabenur wilayah-wilayah di Indonesia. Boleh kata setiap bulan saya memang berada di Kepulauan Riau untuk mengadakan persembahan.”

Kata Poey lagi, “Dengan rezeki yang Allah bagi ini, saya harap Allah permudahkan segala urusan dan agar saya sihat selalu hendaknya. Kalau tak sihat bagaimana hendak menyanyi sebab saya selalunya kena bergerak dari satu tempat ke tempat lain. Tempat-tempat persembahan bukannya dekat-dekat. Ada yang kena naik van, ada yang kena naik kapal terbang dan ada juga yang kena naik feri.

“Selagi ada kudrat empat kerat dan masih boleh menyanyi… saya akan terus menyanyi. Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada saya untuk mencari rezeki ditempat orang.”

“Saya tak kisah kerana inilah rezeki saya. Dah lama tak berjalan ini seronok juga berjalan-jalan. Tambah seronok isteri saya, Hamizah Hamzah ada menemani sebagai pembantu. Kiranya kami ini bekerja sambil berbulan madu berkali-kali (sambil ketawa).”

Kini Poey bahagia bersama isterinya Hamizah Hamzah,37, bersama empat orang anaknya iaitu Putri Nur Amyshakila, 18, Muhammad Rayyan Mikhail Hasmy, 15, Muhammad Riffqqie Marcell Hasmy, 12, dan Muhammad Raffel Maliqqie Hasmy,8. — BebasNews

Leave a Reply