Seniman Wahid Satay membaca doa sebagai tanda syukur diatas sumbangan dan undangan FINAS untuk menghadiri Festival Filem Malaysia ke-32 pada pertengahan Disember ini di Melaka.

WALAUPUN Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) akan berlangsung di Melaka pada minggu pertama Disember ini, namun Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim mengambil pendekatan ‘sambil menyelam minum air’ ketika menziarah artis lagenda, seniman Wahid Satay dan seniwati Zaiton di Eunos Cresent, Singapura minggu lalu.

DR. MD. NASIR IBRAHIM

Dalam kunjungan selama sejam itu selain bertujuan menyantuni dan menghargai jasa yang disumbangkan dua figura berkenaan dalam bidang seni ia juga bertujuan merisik khabar tentang kesihatan kedua artis lagenda itu dan memberi sumbangan melalui Program Ziarah Prihatin FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

Disamping itu, beliau turut mengundang kedua artis lagenda itu menghadiri festival filem berkenaan.

Satu mesyuarat mengenai festival ini diantara Dr. Md. Nasir Ibrahim dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama, Sulaiman Mohd. Ali telah diadakan di pejabat Ketua Menteri semalam.

“Alhamdulillah Ketua Menteri setuju dengan cadangan FINAS dan kini menantikan lapuran secara terperinci mengenai festival berkenaan,” kata Dr. Md. Nasir Ibrahim.

 

Dengan FFM32 di Melaka, ini adalah kali kedua ia berlangsung di Melaka setelah 35 tahun lalu iaitu ketika Pesta Filem Malaysia ke-7 pada tahun 1987 dan ketika itu ia adalah pertama kali berlangsung di luar dari Kuala Lumpur.

“Saya amat tersentuh hati apabila Seniman Wahid Satay menzahirkan hasratnya untuk hadir pada festival kali ini setelah sekian lama tidak berjumpa teman seperjuangan yang masih ada di KL.

“Bagaimanapun buat masa ini Seniwati Zaiton belum dapat memberi kata putus lagi kerana tarikh itu hampir dengan majlis perkahwinan anak perempuannya.

“Saya yakin jika ada rezeki beliau akan hadir begitu juga Seniwati Hashimah Yon yang tidak dapat hadir pada majlis hari ini kerana ada urusan keluarga,” kata Dr. Md. Nasir Ibrahim.

 

Menyentuh mengenai Program Ziarah Prihatin beliau memberitahu ia adalah satu penghargaan kerajaan terhadap sumbangan para seniman dan seniwati yang merupakan nadi atau penggerak industri perfileman yang diwarisi karyawan filem hari ini.

Md. Nasir Ibrahim dibawah Program Ziarah Prihatin FINAS menyampaikan sumbangan kepada Seniwati Zaiton sambil diperhatikan oleh Seniman Wahid Satay ketika mengunjungi mereka di Singapura, Ahad lalu.

Program ini sejajar dengan usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan FINAS mewujudkan Dana Khas Dokumentari Bintang Nostalgia di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) bagi menghasilkan siri dokumentari yang menampilkan barisan seniman dan seniwati filem Melayu Klasik yang aktif pada era 1950an sehingga 1970an.

Disamping itu, beliau juga mengundang biduanita Sanisah Huri selepas menyaksikan konsertnya pada malam Sabtu lalu .

“Saya juga mengundang Sanisah Huri dan diharap beliau punya waktu untuk memeriahkan festival filem kali ini,” kata Md. Nasir Ibrahim yang turut diiringi isterinya, Pengerusi Puspanita FINAS, Azlina Jahaya dalam sesi Program Ziarah Prihatin.

DR. Md. Nasir Ibrahim menyampaikan sumbangan kepada biduanita Sanisah Huri melalui Program Ziarah Prihatin FINAS selepas berakhirnya “Sanidah Huri – The Lady In Concert” yang berlangsung di Esplaned, Singapura.
Turut memerhati ialah Azlina Jahaya (bertudung kuning dan hitam) dan Pengurus Peribadi Sanisah, Rusedah.

Pada malam Sabtu lalu, satu konsert khas “Sanisah Huri – The Lady In Concert” telah diadakan di Esplaned setelah dua tahun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Dewan khas yang boleh memuatkan 2,000 penonton di mana berlangsungnya konsert berkenaan dihadiri 1,878 para peminat setia Sanisah Huri sejak tahun 1960an lagi.

Bagaimanapun, kata Md. Nasir Ibrahim, pihaknya akan membuat susulan bagi memastikan hasrat FINAS untuk mengundang mereka yang banyak berjasa dalam industri filem pada era 1950an sehingga 1970an akan hadir.

Seniman Wahid Satay yang mesra disapa Pak Wahid ketika ditanya mengenai undangan FINAS, berkata;

“Insyaa-Allah sebagai menghormati undangan daripada CEO FINAS, saya akan datang jika festival itu berlangsung di Melaka kerana antara Singapura ke Melaka tidaklah terlalu jauh.

“Saya berharap melalui festival itu nanti dapatlah saya bertemu dengan rakan-rakan seangkatan saya yang sudah lama tidak berjumpa.”

DUDUK dari kiri, Wahid Satay, Dr. Md. Nasir Ibrahim
bersama isteri, Azlina Jahaya, Zaiton dan Sandakiah Aziz.
BERDIRI dari kanan: Ismawati Ismail (wartawan Berita Harian Singapura), Rusedah, Syed Wafa (WAFA TV) dan Muzlina Abu Bakar (BebasNews).

Hasrat mahu restorasi filem lama tidak kesampaian – Dr. Md. Nasir

SELAIN menyantuni seniman dan seniwati lagenda, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim turut mengadakan lawatan rasmi ke lokasi bersejarah Studio Malay Film Productions (MFP) milik Shaw Brothers yang terletak di Jalan Ampas.

Menurut Md. Nasir Ibrahim, lawatan berkenaan adalah selaras dengan aspirasi FINAS dalam pembangunan khazanah warisan dan pembudayaan ilmu dan Studio Jalan Ampas menjadi pilihan kerana ia adalah lokasi bersejarah studio Malay Film Productions (MFP) milik Shaw Brothers ataupun dikenali sebagai Studio Jalan Ampas yang pernah menerbitkan lebih 200 buah filem dari tahun 1937 sehingga penutupannya pada tahun 1967.

Dr. Md. Nasir Ibrahim menandantangi buku lawatan Studio Malay Film Production selepas lawatan di sekeliling studio berkenaan di No: 8, Jalan Ampas, Singapura

“Selain lawatan Studio MFP, kunjungan saya ke sini dengan bantuan adalah untuk mendapatkan beberapa rel filem terbitan Shaw Brothers untuk FINAS menjalankan restorasi agar dapat ditonton oleh para peminat filem Melayu.

“Sayangnya saya diberitahu pihak Shaw Brothers telah melantik sebuah syarikat untuk menjalankan proses berkenaan,” kata Md. Nasir Ibrahim.

Antara filem yang menjadi pilihan FINAS untuk direstorasi ialah filem-filem arahan Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P. Ramlee antaranya “Ibu Mertuaku, trilogi “Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok dan Semerah Padi.”

Sementara filem-filem arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong seperti “Bidasari, Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup, Lela Manja dan Raja Bersiong.”

Menurut beliau, jika filem-filem itu sudah direstorasi FINAS akan menayangkan di Over The Top.

Sementara itu dalam lawatan hampir sejam di Studio Jalan Ampas itu, beliau dibawa melihat sekeliling tapak penggambaran filem yang telahpun dirobohkan.

SANDAKIAH Aziz menunjukkan kepada Dr. Md. Nasir Ibrahim kedudukan ofis Allahyarham P. Ramlee dan Allahyarham Jamil Sulong.
GAMBAR atas adalah jembatan dalam filem “Madu Tiga” mula ditayangkan pada pada 12 Februari 1964.
Sementara di bawah adalah keadaan jembatan berkenaan hari ini yang telah diubahsuai

Bagaimanapun Dr. Md. Nasir Ibrahim dibawa melihat lokasi babak terakhir filem “Madu Tiga” yang mana Jamil (P.Ramlee) terjun ke ‘longkang’ untuk menyelamatkan diri dari dikejar oleh isteri-isterinya Latifah (Allahyarham Zaharah Agos), Hasnah ( Allahyarham Jah Mahadi) dan Rohani (Primadona Seniwati Datuk Dr. Hajjah Sarimah Haji Ahmad.

JIKA anda masih ingat babak diatas adalah dari filem “Seniman Bujang Lapok” yang mana jaga berketurunan benggali menyindir Sudin yang tidak beradap bertanya kepadanya.
Sementara gambar di bawa hanya tinggal kerusi di tempat berkenaan.

Bukan itu sahaja, tentu anda ingat ketika Ramli, Sudin dan Ajis mahu meminta kerja menjadi pelakon dan bertanya ‘Jaga’ dan mereka telah disindir kerana tidak ada adab.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Rosie Othman, wakil Malay Film Department, Shaw Organisation, atas kerjasama menjayakan lawatan rasmi ini juga kepada Sandakiah Aziz yang mengiringi sepanjang lawatan kami,” kata Dr. Md. Nasir Ibrahim.

Dr. Md. Nasir Ibrahim diinterbiu oleh Syed Wafa dari WAFA TV yang mengikuti lawatan sambil kerja FINAS ke Studio Malay Film Production, di No: 8, Jalan Ampas, Singapura.

— BebasNews

Leave a Reply