Bisik adalah single ciptaan Irfan bersama abangnya, Haiqal Iskandar dan lirik oleh Ubaidillah.

SEJAK bergelar artis rakaman pada 2016 hinggi kini, penyanyi Irfan Haris sudah ada enam single, satu daripadanya nyanyian ramai bersama artis Rocketfuel iaitu Sehati Malaysia.

Namun dalam senarai lagu dendangannya itu, single pertama iaitu Redha, yang menjadi tiket orang mengenali Irfan, 21, sebagai penyanyi di tanah air.

Selepas dua tahun tidak menghasilkan single baharu, kini Irfan tampil dengan single berjudul Bisik, ciptaannya bersama abang kandung, Haiqal Iskandar dan lirik pula ditulis oleh saudara rapat iaitu Ubaidillah.

Bisik menampilkan genre balada sama seperti Redha yang dicipta oleh Ippo Hafiz dulu. Menariknya, lagu Bisik terbitan Rocketfuel Entertainment itu merupakan kisah benar tentang rasa hati Ifran.

Irfan Haris harap Bisik dapat diterima ramai.

“Idea di sebalik penciptaan lagu ini tercetusnya hampir empat tahun yang lalu di mana saya sedang merasa sedih dan sangat down kerana sedang merindukan seseorang yang amat dalam.

“Haiqal dan saya menciptakan melodinya, manakala Ubaidillah pula bertanggungjawab menulis liriknya melalui naratif yang saya cuba saya sampaikan agar jalan cerita dan muziknya kedengaran serasi.

“Saya selesa bekerjasama dengan abang dan saudara sendiri kerana kami mempunyai chemistry dalam hal-hal berkaitan pembikinan lagu, ia mungkin kerana hubungan akrab yang sudah terjalin secara semula jadi dan sejak kecil lagi,” kata Irfan yang sebelum ini berkolaborasi dengan kakaknya, Amira Othman menerusi lagu Sambil.

Irfan yang merupakan pelajar jurusan Diploma Seni Hiburan di KDU University College itu berkata, single Bisik dihasilkan berdasarkan kisah peribadinya pada suatu ketika dulu.

Irfan Haris muncul dengan single baharu, Bisik.

“Waktu itu saya baharu sahaja berpisah dengan seseorang yang amat dekat dengan hati saya, jadi cara saya meluahkan perasaan ketika itu adalah melalui penciptaan melodi yang spontan, saya ambil gitar dan terus memetiknya sehingga keluar muzik dengan sendirinya.

“Bisik membawa maksud kata-kata berbisik pada diri sendiri apabila terlalu merindui seseorang yang amat dalam, bisikan pada hati tentang perasaan rindu sedangkan bekas kekasih telah pun mempunyai ‘orang’ baharu.

“Lagu ini agak ‘sendu’ sesuai dengan mood yang saya cuba bawakan, dan saya teruja hendak kongsikannya bersama peminat,” jelas Irfan tentang maksud di sebalik bait lagu tersebut.

Kebanyakan karya Irfan yang terdahulu sering berpaksi pada genre balada yang sememangnya sesuai dengan vokal yang dimilikinya sejak di awal kemunculan sebagai penyanyi.

Irfan Haris kongsi pengalaman dalam lagu Bisik.

“Bagi penghasilan pada kali ini, saya kembali pada genre yang rata-ratanya disukai peminat dan penggemar muzik kerana ternyata lagu-lagu sebegini mempunyai impak terhadap mereka yang mendengarnya.

“Proses rakaman dimulai dari jam 10 pagi sehingga 4 pagi keesokkan harinya kerana saya mahu lagu ini betul-betul ‘sampai’ ke hati pendengar.

“Walaupun proses rakamannya agak lama, saya sudah pun mengerti apa yang diperlukan kerana lagu ini sudah pun tercetus sejak tahun 2018 lagi,” jelas Irfan yang menganggap dirinya sebagai seorang yang menitikberatkan kesempurnaan.

Selain single yang dilancarkan, video muzik (MV) Bisik turut menemui peminat di laman YouTube dengan jalan ceritanya yang pasti menyentuh jiwa.

“Idea di sebalik MV ini juga datangnya daripada saya kerana saya ingin berkongsi betapa murungnya jiwa seseorang lelaki itu apabila terlampau merindui bekas kekasihnya.

“Saya juga ingin mengetengahkan masalah depression buat penonton kerana pasti ramai yang boleh mengaitkannya dengan pengalaman sendiri, kerana cinta itu kadang-kadang hampir membuatkan kita kurang waras dan terus menjadi murung.

“Apa yang saya cuba sampaikan adalah permasalahan yang sering terjadi pada masa kini, mungkin agak berat bagi semua tetapi ketahuilah ada jalan keluarnya, iaitu masa,” katanya.

Akui Irfan, dia senang dapat berkongsi muzik kegemarannya dengan orang ramai kerana lagu ciptaannya dekat di hati, yang berbunyi ikhlas dan tidak dibuat-buat.

“Perkara yang menggembirakan saya tatkala lagu-lagu saya diterima dan ramai yang terhibur apabila mendengarnya kerana itu merupakan perasaan yang sukar saya gambarkan dari sudut positif.

“Saya berharap agar lagu Bisik ini dapat diterima semua kerana saya percaya ada yang terkesan dengan mesej yang cuba disampaikan, dan saya sangat-sangat berterima kasih di atas sokongan yang diberikan selama ini,” katanya jujur.

Sementara itu, Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment Malaysia, Erick Yew berkata, Irfan Haris adalah artis muda yang mempunyai bakat nyanyian yang mampu menyentuh jiwa sesiapa mendengarnya, selain itu dia juga berkebolehan dalam bidang penciptaan lagu.

“Jiwa seni yang lahir dalam dirinya jelas kelihatan selain kakaknya juga yang mempunyai bakat yang sama. Saya berharap agar Bisik dapat mengembalikan rindu peminat Irfan yang dambakan lagu-lagu sebegini darinya,” kata Erick.

Lagu Bisik boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton oleh peminat secara eksklusif hanya di saluran YouTube Rocketfuel Network. — BebasNews

Leave a Reply