Kumpulan Rabbani adalah ikon artis WAFI.

JIKA kita merasakan diri susah, sebenarnya ada insan lain yang lebih susah daripada kita kerana kehidupan ibarat roda berputar, sekejap di atas dan sekejap di bawah.

Hari ini kita bantu orang, esok lusa kita pula yang dibantu. Sebab itulah jangan sesekali berkira untuk bersedekah kerana amalan bersedekah itu besar pahalanya.

Lagipun sampai bila kita akan menongkat langit, jadi sebelum Malaikat Izrail datang mencabut nyawa, marilah kita sama-sama menambahkan bekalan amalan akhirat sama ada melalu bersedekah atau berinfak.

Bagi golongan penggiat seni, mereka boleh berinfak menggunakan bakat dan pengaruh masing-masing dengan mengajak orang ramai untuk melakukan kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan.

Nizal Mohammad (dari kiri) sewaktu sesi wawancara dengan Mohd Azmi Abdul Hamid dan Azadan Rabbani sebelum pelancaran WAFI.

Sehubungan itu, atas inisiatif sekumpulan insan seni, Wawasan Artis Infaq Seni (WAFI) ditubuhkan untuk menjalankan aktiviti kemanusiaan dengan berinfak.

WAFI dilancarkan pada 28 Julai lalu, oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sempena Karnival Ummah Bestari yang berlangsung di Pertama Kompleks, Kuala Lumpur, anjuran Naurah Care Malaysia dan Rabbani Empire Resources.

Pertubuhan itu merupakan satu entiti yang menyokong usaha Sekretariat International Wakaf dan Infaq Aqsa anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang sedang berjalan sejak pelancaran di Majlis Iftar Amal MAPIM di Ibu Negara Ramadan lalu.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, selaku badan bukan kerajaan (NGO) induk kepada inisiatif ini MAPIM amat berbesar hati dengan pelancaran WAFI.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Jamal melancarkan Wawasan Artis Infaq Seni (WAFI) di Pertama Kompleks, baru-baru ini

“WAFI adalah wadah bagi seramai mungkin insan seni dalam usaha mereka berwakaf dan infak melalui aktiviti kesenian mereka tanpa mengira latar belakang professional dan bidang diceburi.

“Penggiat seni boleh menyumbang kepada usaha wakaf dan infak melalui platform seni kepada usaha kemanusiaan sama ada dalam negara mahupun ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Ujarnya, buat masa ini, kumpulan Rabbani dan penyanyi Daqmie diangkat sebagai Ikon Artis WAFI.

“Kami percaya pada masa hadapan jumlah yang menyertai WAFI akan bertambah dengan dokongan semua rakan artis dan insan seni di dalam negara.

Antaran barisan artis yang hadir memberi sokongan untuk penubuhan WAFI.

“WAFI akan mengadakan beberapa siri jelajah program kebajikan dan kemanusiaan bagi menyantuni isu-isu umat yang memerlukan di mana-mana sahaja termasuk usaha mengadakan program khusus di kalangan Insan seni bagi menjadikan WAF! sebagai platform mereka berwakaf dan infaq melalui bakat kesenian mereka kepada masyarakat.

“Selain itu, WAFI akan menjalinkan kerjasama dan kegiatan dengan semua jaringan artis di rantau ASEAN dan dunia dalam mengangkat isu kemanusiaan di mana sahaja terutama dalam usaha menyokong perjuangan Al Aqsa khususnya. Ini kerana Al Aqsa adalah puncak kepada segala isu kemanusiaan di dunia yang melawati isu keagamaan,” katanya penuh semangat.

Antara projek yang akan dilaksanakan adalah misi kemanusiaan Al Aqsa musim sejuk pada 22 Nov 2022 oleh WAFI dan MAPIM bagi membawa bantuan yang diperlukan untuk Al Aqsa dan beberapa Kem Pelarian Palestin di Jordan.

“Sehubungan itu, kami akan mengajak seramai mungkin rakan selebriti atau artis yang ingin bersama-sama dalam delegasi untuk ke sana dan juga sebanyak mungkin penglibatan rakan artis dalam mengumpul dana kemanusiaan Al Aqsa bagi tujuan tersebut mulai hari ini.

“WAFI amat berharap kerjasama semua pihak rakan media dalam menyokong usaha kami ini. Begitu juga, kami mohon orang ramai juga turut membantu projek ini,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply