Selak Hassan Md NoorDEWAN Rakyat sekali lagi menjadi tumpuan minggu ini apabila Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 dibentang, dibahas, digulung dan kemudiannya diundi sama ada diterima atau ditolak.

Apakah ‘nasib’ RUU ini? Berapa ramai yang akan menyokong dan berapa ramai pula yang membantah atau berkecuali atau tidak menghadirkan diri?

Melihat perkembangan semasa, adakah RUU ini akan mendapat sokongan majoriti seperti tercipta sejarah pada 28 Julai lalu apabila RUU berkaitan antilompat parti diluluskan dengan majoriti dua pertiga ahli Dewan.

Menerusi undi belah bahagian, RUU berkaitan Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 itu mendapat sokongan 209 ahli termasuk dalam kalangan wakil rakyat yang pernah digelar katak atau pengkhianat kerana melompat parti selepas pilihan raya umum.

Pastinya RUU minggu ini yang selepas ini akan saya rujuk secara ringkas sebagai ‘RUU Antirokok’ tidak sama dengan RUU Antilompat.

RUU Antilompat bagaikan Politik Kepartian manakala RUU antirokok umpama Politik Kesihatan. Satu dikaitkan dengan mandat rakyat memilih parti yang tidak boleh dikhianati manaka satu lagi “mengikat” rakyat supaya tidak mengabaikan kesihatan.

Jika RUU Antilompat tidak lagi memberi kebebasan kepada wakil rakyat melompat tetapi RUU antirokok ini dilihat mengikat kebebasan untuk merokok. Malahan dikaitkan juga dengan ekonomi negara.

Diharapkan tidak timbul isu kebebasan atau dikaitkan dengan hak asasi manusia. Kebebasan bersuara tentunya tidak sama dengan kebebasan merokok. Setiap kebebasan pula ada batasnya. Yang penting, pastikan manfaat secara keseluruhan.

Jangan pula RUU ini dijadikan senjata politik, dijadikan alasan untuk menjaga hati anak muda 15 tahun ini yang bakal menjadi pengundi masa depan.

Slogan “Merokok membahayakan kesihatan” bukanlah sesuatu yang baharu tetapi manusia tetap ketagih merokok. Malahan difatwakan haram juga tidak ada yang ambil berat, tetap merokok.

Pelbagai kempen, peraturan dan penguatkuasaan bagi mengawal perokok tetapi tiada kesudahannya.

Masih ada yang merokok dalam kawasan premis termasuk di restoran padahal mulai
1 Januari 2020, perbuatan merokok wajib dilakukan di luar jarak tiga meter atau kira-kira 10 kaki dari setiap premis berkenaan.

Masalahnya kesedaran perokok dan penguatkuasaan. Tanpa penguatkuasaan, perokok tidak peduli peraturan yang dikenakan. Undang-undang atau peraturan ‘DILARANG MEROKOK’ sekadar hiasan di dinding atau di atas meja makan.

Perokok tidak peduli keresahan orang lain apabila asap rokok mereka mengganggu keselesaan orang lain dan menyebabkan baju berbau asap rokok.

Kesungguhan peniaga terutama di restoran juga tidak membantu. Atas faktor ekonomi atau keuntungan, rokok dipamer dan dijual di kaunter bayaran seolah-olah merokok dibenarkan di restoran.

Mungkin jika perokok menghormati orang lain, jika tidak mahu menghormati tubuh badan sendiri, tidak akan ada penguatkuasaan atau peraturan yang cuba ‘mendidik’ perokok.

Bagaimanapun RUU Kawalan Produk Tembakau ini mempunyai peranan lebih besar. Walaupun mati itu bukan urusan manusia tetapi usaha dan ikhtiar perlu ada untuk penjagaan kesihatan seterusnya menyelamatkan jiwa.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dua juta nyawa mampu diselamatkan daripada kematian dan keilatan akibat penyakit berkaitan aktiviti merokok dalam tempoh hingga 2040, sekiranya ‘RUU Antirokok’ dikuatkuasakan.

RUU itu amat penting bagi aspek kesihatan awam, malah tidak banyak RUU di negara ini yang boleh menyelamatkan bilangan nyawa seramai itu.

“Selain kematian pramatang disebabkan aktiviti merokok, RUU ini akan banyak membantu menurunkan kes penyakit yang ada kaitan dengan merokok,” katanya baru-baru ini.

RUU itu antara lain memperuntukkan larangan kepada Generasi Penamat (GEG) atau individu lahir pada 2007 dan seterusnya, untuk merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti merokok.

Kelulusan RUU itu amat penting supaya penjualan produk rokok, terutama vape, dapat dikawal selia bawah akta tersendiri memandangkan tiada mekanisme perundangan bagi mengawal selia produk rokok alaf baharu itu.

Ketika ini, rokok dikawal oleh Akta Makanan 1983, manakala nikotin pula dikawal selia Akta Racun 1952. Tiada undang-undang berkenaan tembakau yang khusus, hanya ada peraturan kawalan hasil tembakau yang ada bawah Akta Makanan.

Walaupun mereka yang melakukan kesalahan berkaitan RUU ini boleh dikenakan tindakan, tiada rekod jenayah akan direkodkan terhadap golongan GEG dan mereka hanya dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan.

Menurut RUU itu, individu lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, yang merokok produk tembakau atau produk pengganti tembakau, menggunakan peranti merokok atau memiliki produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok, boleh didenda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.

Selain itu, individu lahir pada 1 Januari 2007 dan seterusnya, yang membeli produk tembakau, bahan merokok dan produk pengganti tembakau atau peranti merokok juga berdepan hukuman denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.

Apa yang diharapkan, KKM mampu merealisasikan GEG yang bebas daripada asap rokok, termasuk mengurangkan jumlah aktiviti penyeludupan serta penjualan rokok secara haram sekiranya RUU itu dikuatkuasakan.

Semoga RUU ini juga mendapat sokongan sebulat suara walaupun RUU ini bukanlah antara perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).

Menjadi harapan dan impian kita pada suatu masa nanti alam sekitar kita bebas asap rokok! — BebasNews

Leave a Reply