Foto wikipedia - Tengku Dato' Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz

SHAH ALAM — Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diumumkan sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor yang baharu berkuat kuasa serta-merta malam tadi.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasnya, Tan Sri Noh Omar langkah itu dianggap sebagai rombakan terbaharu yang dipersetujui semua parti-parti komponen.

“Kita melakukan rombakan berkenaan bagi  memberi semangat baharu kepada BN Selangor.

“Bendahari baharu kini adalah Tengku Zafrul manakala Jamal pula menjadi Ketua Komunikasi,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen BN Selangor di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) malam tadi.

Majlis penutupan konvensyen selama sehari tersebut dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Terdahulu 18 Julai lalu, media melaporkan kesediaan Jamal melepaskan jawatan Bendahari BN Selangor bagi memberi laluan kepada Tengku Zafrul.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, jawatan yang disandang sejak 2019 itu meliputi pengurusan kewangan dan pendanaan parti komponen di 22 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, Tengku Zafrul merupakan pakar pengurusan kewangan yang memiliki latar belakang perbankan dan profesional ketika menjadi menteri.

Dalam pada itu, Noh yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dalam amanatnya meminta semua akar umbi kekal bersemangat untuk merampas semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

“Tiada benda yang mustahil dalam politik  terutama di negeri ini dan kita boleh mengubah senario sedia ada.

“Di bawah pimpinan presiden, kita yakin mampu menang dan rakyat sudah kembali kepada BN selepas menilai kegagalan parti lain untuk mentadbir negara sebelum ini,” ujarnya.

— BebasNews

Leave a Reply