AZEEM Fahmi membuat isyarat ‘marvelous’ (menakjubkan) pada mulutnya selepas melintasi garisan penamat perlumbaan 100m di Stadium Olimpik Pascual Guerrero. – Foto WA
MUHAMMAD Azeem Mohd. Fahmi berjaya memecahkan rekod kebangsaan 100 meter ketika memenangi saringan kelapan pusingan pertama Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia 2022 di Cali, Colombia.
Pelari remaja negara ini mencatat 10.09 saat hari ini (waktu Malaysia), kurang 0.09s dengan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan, 10.18s dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak.
Laman Facebook Majlis Sukan Negara (MSN) melaporkan, catatan Azeem juga merupakan yang kedua terpantas daripada 60 pelari peserta acara kejohanan anjuran Olahraga Dunia (WA) itu di Stadium Olimpik Pascual Guerrero.
Atlet muda Malaysia ini pernah digelar ‘Usain Bolt Malaysia’ tetapi menolak disamakan dengan pemegang rekod dunia dan juara Sukan Olimpik dari Jamaica itu.
Azeem berada kedua terpantas di belakang Letsile Tebogo dari Bostwana yang turut mencipta rekod kejohanan dengan kepantasan 10.00s.

Anak jati Teluk Intan, Perak berusia 18 tahun itu menamatkan perlumbaan di depan pelari Jepun, Hiroki Yanagita yang mencatat 10.24s dengan kedua-duanya layak beraksi dalam separuh akhir esok.
Esok Azeem akan berlari dalam separuh akhir ketiga di lorong ketiga yang antara pesaingnya adalah dari Kanada, Grenada, Jamaica, Itali, Afrika Selatan, Jepun dan Argentina. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.