Gambar hiasan. - Foto via voyageway.com

DALAM melestarikan, memelihara dan memulihara kewatanan nilai dan institusi negara, serta mengarusperdanakan penampilan dan identiti Melayu, satu naratif baharu wajar dilaksanakan.  Ini bermaksud pembentukan semula cerita Melayu; atau penjenamaan semula orang Melayu.  Masyarakat Melayu telah mengalami pelbagai cabaran dan kegawatan selama hampir dua dekad ini, yang membawa kesan pemesongan sejarah dan imej Melayu oleh anasir-anasir pembenci Melayu, dan pihak-pihak anti nasional.

Ini dilakukan dalam pelbagai bentuk seperti mereka yang memperjuangkan hak asasi manusia, mereka yang menuntut hak sama rata, mereka yang mempromosikan kepelbagaian dari semua segi, mereka yang memesongkan sejarah negara, mereka yang cuba memansuh peruntukan, mengganti perlembagaan persekutuan dengan yang lain. Usaha penjenamaan semula ini adalah satu pendekatan dan kaedah bagi mengatasi kegawatan yang dihadapi sebagai warga negara Malaysia. Esei ini mencadangkan satu insiatif penjenamaan semula orang Melayu sebagai satu kempen berpanjangan.  Satu strategi yang terbuka?  Apa lagi cara yang ada selain memilih jalan ini.

Sebelum kita memulakan secara sedar, tersusun dan strategik, kita perlu tanya soalan-soalan yang betul. Jika kita bertanya soalan yang salah, kita akan mendapat jawapan yang salah. Dan jika kita enggan bertanya soalan atas dasar prasangka terhadap sesuau perkara itu, atau atas dasar menafikan jawapan yang kita jangka akan didapati, maka kita sendiri akan terus menafikan masalah kita.

Apa yang perlu ditanya ialah: Apakah orang-orang Melayu kompetitif, dapat bersaing dengan jiran bukan Melayu? Dan jawapan yang ingin saya utarakan ialah kita tidak kompetitif, tidak pintar dan tidak boleh berdaya saing.

Jika kita kompetitif, pintar dan berdaya saing dan orang Melayu negara ini sebagai penduduk majoriti, kenapa kita menghadap masalah pemilikan ekonomi, mengapa kita tidak dapat mengawal perjalan politik, mengapa wujud kesangsian kecekapan sistem sekolah kebangsaan, budaya dan sejarah orang Melayu diperlekeh dan diremehkan. dan banyak lagi.

Sejumlah lebih 90 peratus penjawat awam di Malaysia ini adalah terdiri dari orang-orang Melayu. Mengapa terjadi begini – satu kumpulan minoriti yang telah mencorak negara dengan nilai mereka – kita kenalpasti in sebagai pencinaan – dalam hampir semua dimensi kehidupan nasional Malaysia. Dalam istilah sosiologi/antropologi disebut “Sinicization.” Dan ini hampir terjadi dengan sempurna jika negara tidak melaksanakan dasar-dasar pasca 1970an yang kita warisi ini. Itu satu naratif negara yang telah bertahan hampir 50 tahun.

Penjenamaan semula ialah satu strategi yang memerlukan satu naratif baharu. Naraitf baharu ini melibatkan beberapa dimensi kritikal seperti berikut: (1) bangsa dan identiti Melayu; (2) merombak budaya politik kepartian Melayu; (3) Mengoptimumkan penggunaan media Melayu; (4) Mentakrif semula perhubungan Melayu-China (5) Menggunakan/ mengkaji/belajar dari orang-orang Cina untuk kemajuan bangsa.

Dalam kehidupan negara bangsa, terdapat sekurang-kurang empat episod penjenamaan (yang termasuk membentuk semula naratif) dalam masa kira-kira 66 tahun ini. Pertama ialah Novel fiksyen sejarah Panglima Awang oleh Harun Aminurrashid. Beliau menulis novel itu pada tahun 1956, lalu diterbitkan pada tahun 1957 oleh Pustaka Melayu di bawah jenama Buku Punggok. Panglima Awang telah mengangkat kesedaran orang Melayu, meletakan Melayu pada tahap global dan dijadikan ikon dalam sejarah global. Malah ucapan Tun Mahathir pada tahun 1997 di Persidangan Antrarabangsa Maritim Malaysia yang pertama telah meneruskan kesedaran Panglima Awang (atau Henry the Black dalam narratif Inggeris, atau Enrique dalam naratif Portugis) dengan merujuk kepada kehebatan dan kecekapan Melayu sebagai pelaut.

Di antara tahun 1957 dan 1997, negara dan dunia dikejutkan dengan buku The Malay Dilemma. Pada tahun 1970 dan dekad-dekad seterusnya sehinggan kini, naratif Melayu di Malaysia berubah. Orang Melayu diberi satu imej baharu, seiring dengan peluang dan cabaran baharu. Ini juga merupakan episode penjenamaan orang Melayu yang sebelum itu dilihat sebagai mundur dan tidak berdaya maju. Dan kini kita disajikan dengan cerita Mat Kilau. Semua ini adalah sebahagian dari penjenamaan (yang tidak disengajakan, tidak tersusun, tidak berstrategi).

Orang Melayu perlu mempunyai kesedaran seperti orang Jepun. Sebagai contoh, pada zaman Tokugawa tahun 1870an, pemerintah, kumpulan pemikiran dan cendekiawan Jepun berusaha untuk menjadikan orang-orang Jepun standing dengan orang putih – berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

Tidak ada kompromi dalam hal ini. Dalam menjadikan Jepun negara dan tamadun yang progresif dari segi daya saing ekonomi, mereka juga mahukan sejarah global dan sejarah Eropah memandang tinggi kepada mereka.

Kini, Jepun dianggap sebagai sebahagian dari dunia Barat (dari segi ekonomi dan kemajuan) dan dikaitkan dengan etik kerja, kredibiliti dan amanah. Jepun dan orang-orang Jepun telah menjadi satu jenama (brand).  Dengan nilai apakah orang-orang Melayu mahu dikaitkan?Dengan itu, amat wajar orang-orang Melayu dijenamakan semula  – istilah Melayu kini telah menjadi satu perkataan yang diperlekehkan, diremehkan, dibencikan, dan dihina.

Kini, menjadi Melayu ialah menjadi manusia yang negatif, malas, perasuah, hipokrit, rasis dan sebagainya. Semua ini mesti diubah. Imej Melayu mesti berubah seiring dengan budaya dan gelagat politik Melayu. Penjenamaan membawa implikasi pada peringkat antarabangsa.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply