Dari kanan, Norzeha dan Rosmin pada majlis sidang media melancarkan AIM23, baru-baru ini.

SETELAH sekian lama menyepi, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan yang Anugerah Industri Muzik (AIM) kembali untuk edisi ke-23.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim mengumumkan bahawa RIM buat julung kalinya berkolaborasi bersama penyiar rasmi, Astro bagi penganjuran majlis anugerah AIM23 tahun ini.

Selain itu, pembukaan tempoh pencalonan, syarat kelayakan dan kriteria untuk setiap kategori yang dipertandingkan juga diumumkan dalam satu majlis yang berlangsung baru-baru ini.

“Kami amat teruja untuk menganjurkan AIM23 selepas sekian lama menyepi dan gembira melihat industri muzik tempatan menuju ke arah pemulihan selepas tempoh pandemik.

Rosmin Hashim memberitahu ada dua tambahan kategori untuk AIM23 iaitu ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’ dan ‘Lagu India Tempatan Terbaik’ dalam kategori anugerah utama.

“Sudah agak lama pengamal industri muzik tempatan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya, terutamanya penghormatan yang diperolehi dengan memenangi anugerah AIM.

“Sejak 1993, AIM dikenali sebagai Anugerah Grammy Amerika yang setaraf di Malaysia, satu-satunya persembahan anugerah tempatan yang memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada pengamal industri muzik tempatan.

“Anugerah diberikan kepada penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit dan jurutera bunyi, berdasarkan merit dan kualiti di samping membantu merangsang kreativiti dan kecemerlangan dalam penciptaan muzik yang boleh menembusi pasaran antarabangsa”, kata Rosmin yang juga Pengerusi RIM.

Ujarnya, acara kemuncak AIM23 akan disiarkan secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Astro RIA dan ERA yang bakal diadakan pada 11 September 2022 (Ahad), pukul 9 malam, sementara pukul 8.30 malam untuk Karpet Merah.

Norzeha Mohd Salleh gembira dapat bekerjasama dengan RIM untuk menjayakan AIM23.

Tambah Rosmin, untuk tahun ini turut diadakan anugerah ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’ dan ‘Lagu India Tempatan Terbaik’ dalam kategori anugerah utama.

“Terdapat perubahan besar dalam cara muzik digunakan dan didengari oleh orang awam. Untuk mencerminkan keluasan muzik yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia, kami telah menambah anugerah ‘Lagu Cina Tempatan Terbaik’ dan ‘Lagu India Tempatan Terbaik’ dalam kategori anugerah utama.

“Kami juga mengembalikan semula kategori ‘Lagu Bahasa Melayu Terbaik Dipersembahkan oleh Artis Asing’, manakala kategori ‘Lagu Paling Banyak Dimuat Turun’ telah digugurkan memandangkan penggunaan muzik pilihan orang ramai adalah melalui penstriman,” kata Rosmin.

Jelasnya lagi, sebanyak 26 kategori anugerah dipertandingkan tahun ini dan penghakiman untuk pencalonan yang diterima dikendalikan oleh panel hakim terpilih dalam kalangan pengamal yang dihormati dan pakar terkemuka daripada pelbagai disiplin dalam industri muzik tempatan, diketuai oleh Ketua Hakim yang dilantik oleh Jawatankuasa Penganjur AIM.

Markah yang diberikan oleh hakim-hakim ini akan dijadualkan dan diaudit oleh juruaudit bebas sebelum keputusan dikeluarkan dan diumumkan. Penerima anugerah pencapaian seumur hidup ‘Sri Wirama’ akan ditentukan oleh Ahli Majlis RIM.

Manakala, keputusan Lima Calon Akhir AIM23 dijangka diumumkan dalam bulan Ogos ini.

Sementara itu, Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, pihaknya teruja untuk menjadi sebahagian daripada AIM23 bagi mengiktiraf bakat-bakat luar biasa yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam industri muzik.

Sebagai penyiar rasmi, ia merupakan sesuatu keistimewaan bagi pihaknya untuk mempamerkan pengkarya-pengkarya yang telah memberi impak berkekalan terhadap industri sepanjang tahun lalu.

“Astro amat kagum untuk melihat industri muzik terus berkembang hingga ke hari ini walaupun telah menghadapi pelbagai kekangan sejak dua tahun lalu.

“Sebagai sebuah syarikat penyiaran terkemuka Malaysia, kami akan terus menyokong usaha yang memartabatkan industri muzik tempatan kerana AIM telah menjadi penanda aras dalam mengiktiraf bakat-bakat dalam bidang muzik, termasuk penggerak dan pengolah industri, serta bintang-bintang yang sedang meningkat naik,” katanya.

Tambahnya, acara gilang gemilang itu juga boleh ditonton menerusi menerusi saluran Astro Ria (104) dan ERA. Pelanggan Astro turut boleh strim AIM23 menerusi On Demand dan aplikasi Astro GO.

KATEGORI ANUGERAH UTAMA
1. ARTIS BARU TERBAIK
2. PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (LELAKI)
3. PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (WANITA)
4. PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM LAGU (BERKUMPULAN)
5. PERSEMBAHAN VOKAL DUO/KOLABORASI TERBAIK DI DALAM LAGU
6. VIDEO MUZIK TERBAIK
7. RUNUT BUNYI (OST) TERBAIK DI DALAM FILEM/DRAMA
8. LAGU ROCK TERBAIK
9. LAGU POP TERBAIK
10. LAGU R&B/HIP HOP TERBAIK
11. LAGU POP ELEKTRONIK/DANCE TEBAIK
12. LAGU INGGERIS TEMPATAN TERBAIK
13. LAGU CINA TEMPATAN TERBAIK
14. LAGU INDIA TEMPATAN TERBAIK
15. LAGU MELAYU TERBAIK YANG DIPERSEMBAHKAN OLEH ARTIS LUAR NEGARA
16. LAGU NASYID TERBAIK
17. LAGU POP ETNIK TERBAIK
18. ALBUM TERBAIK
19. LAGU TERBAIK
ANUGERAH KHAS
20. ANUGERAH SRI WIRAMA
KATEGORI PRA-ANUGERAH
21. KULIT SINGLE/ALBUM TERBAIK
22. RAKAMAN ALBUM TERBAIK
23. RAKAMAN LAGU TERBAIK
24. SUSUNAN MUZIK TERBAIK DI DALAM LAGU
25. LAGU PALING TINGGI DI STRIM
26. LAGU NADA DERING JUALAN PALING TINGGI

— BebasNews

Leave a Reply