AZEEM Fahmi masih mempunyai satu lagi acara, 200 meter esok. – Foto IG AF

MUHAMMAD Azeem Mohd. Fahmi tetap membanggakan negara dengan menduduki tempat kelima pusingan akhir 100 meter Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Cali, Colombia, hari ini (waktu Malaysia).
Pelari remaja negara ini mencatat 10.14 saat selepas menamatkan larian di lorong kelapan perlumbaan di Stadium Olimpik Pascual Guerrero, sedikit jauh daripada rekod baharu kebangsaan yang diciptanya dalam saringan semalam.
Acara ‘reben biru’ olahraga dan gelaran Remaja Terpantas Dunia ini dimenangi pelari Bostwana, Letsile Tebogo yang turut membaharui rekod dunia bawah 20 tahun dengan catatan 9.91 saat.
Dia diikuti pemenang pingat perak, Bouwahjgie Nkrumie dari Jamaica, 10.02s manakala pingat gangsa buat pelari Afrika Selatan, Benjamin Richardson, 10.12s.


Azeem, 18, turut hanya tewas sedikit sahaja dengan pelari Thailand, Puripol Boonson di tempat keempat yang mencatat 10.12s.

Rakaman penentu (photo finish) juga menunjukkan mereka dan Richardson hanya dibezakan dengan dorongan kepala masing-masing yang begitu tipis di garisan penamat.
Turut bersaing dengan atlet muda Malaysia yang pernah digelar ‘Usain Bolt Malaysia’ ini ialah pelari-pelari dari Jepun, Hiroki Yanagita (10.24s), Laurenz Colbert (Amerika Syarikat, 10.24s) dan Reynaldo Espinosa (Cuba, 10.32s) yang ditewaskannya di tiga tempat terakhir.
Kurang dua jam sebelumnya, pelari kelahiran Teluk Intan, Perak ini menduduki tempat kedua peringkat separuh akhir ketiga dengan kepantasan 10.19s di belakang Nkrumie.
Pusingan pertama semalam menyaksikan Azeem ‘mencantas’ 0.09s daripada rekod lama, 10.18s milik bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Kuching, Sarawak.
Esok (waktu Malaysia), Azeem akan beraksi dalam pusingan pertama saringan ketiga acara 200m di mana dia mempunyai catatan peribadi terbaik, 20.89s yang dilakukan di Kuching, bulan lalu.


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.