KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan lapan individu termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat teknologi maklumat kerana disyaki menerima rasuah berjumlah antara RM800 hingga RM1,500 sebagai balasan membantu majikan atau ejen dalam proses mendapatkan kuota pekerja asing.

Bagaimanapun, daripada jumlah itu, seramai enam suspek termasuk dua wanita ditahan reman selama tiga hari manakala dua lagi suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menetapkan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 5 Ogos terhadap keenam-enam suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.

Menurut sumber, syarikat teknologi maklumat itu dipercayai penyedia platform bagi permohonan pekerja asing yang dilantik oleh kerajaan dan sudah terlibat dalam memproses kira-kira 345,861 kuota bagi tempoh Mei 2022 hingga 29 Julai 2022.

Menurutnya, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berusia dalam lingkungan 50-an bersama seorang pegawai kanannya berusia dalam lingkungan 40-an bersama enam lagi suspek ditahan malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Katanya, dua wanita tersebut yang direman hari ini masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an bekerja di syarikat agensi pekerjaan manakala dua lagi suspek lelaki berusia antara 50 hingga 60-an adalah pemilik syarikat agensi pekerjaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009. — BebasNews

Leave a Reply