ADAKAH Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan kini menjadi ‘laluan maut’ berikutan kerapnya berlaku kemalangan maut di lebuh raya tersebut?

Sekadar contoh, pada akhir Julai lalu lima sekeluarga, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan sebuah pikap berhampiran Hentian Titiwangsa.

Mereka yang terkorban dalam kemalangan menyayat hati ini ialah sepasang suami isteri, anak perempuan dan menantu serta cucu. Kesemuanya penumpang kereta MPV dan maut di tempat kejadian.

Pada November tahun lalu, empat orang orang terbunuh dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta, juga berhampiran kawasan Hentian Titiwangsa. Sepasang suami isteri antara tiga yang maut di tempat kejadian, sementara seorang meninggal di Hospital Gerik.

Bagi yang belum pernah melalui Lebuh Raya Timur Barat, Hentian Titiwangsa ialah kawasan rehat tumpuan ramai untuk menghilangkan penat serta menjamu selera sebelum meneruskan perjalanan ke Gerik atau Jeli. Pemandangan sekitar juga menarik untuk mengabadikan gambar kenangan.

Untuk rekod, Lebuh Raya Timur Barat dibina dengan kos RM296 juta bertujuan memudahkan hubungan darat di antara pantai timur dengan pantai barat. Perjalanan timur barat dipendekkan sehingga ratusan kilometer berbanding sebelum lebuh raya dibuka.

Lebuh raya sepanjang 123 kilometer ini melibatkan 61 kilometer dalam negeri Perak dan selebihnya di Kelantan. Ia mula dibina pada 1967 dan dibuka pada Julai 1982. Pembinaan mengambil masa begitu lama kerana ancaman pengganas komunis yang sentiasa mengganggu kerja pembinaan. Akibatnya ada pekerja terbunuh, selain alat-alat pembinaan banyak dirosakkan.

Pasukan keselamatan berkawal sepanjang masa melindungi pekerja dan memastikan pembinaan lancar. Keadaan muka bumi yang sukar, termasuk paya dan pokok-pokok besar yang perlu ditebang, menambah berat tugas pekerja. Teknologi pembinaan jalan dahulu juga tidak secanggih sekarang.

Ketika mula dibuka, perjalanan terhad. Selepas pukul 6 petang, kenderaan tidak dibenarkan melalui lebuh raya ini. Dari Gerik, ada pos tentera selepas pekan Gerik yang memeriksa kenderaan untuk memastikan tiada kenderaan menuju ke Jeli selepas itu. Begitu juga sebaliknya dari Jeli.

Hanya kenderaan yang keluar masuk ke Felda Bersia, Gerik dan kampung sekitar dibenarkan lalu. Kenderaan yang hendak ke Jeli akan diarah berpatah balik. Semua ini untuk memastikan keselamatan pengguna kerana Gerik ketika itu adalah kawasan hitam.

Selepas pengganas komunis meletakkan senjata sepenuhnya pada 1989 barulah lebuh raya ini dibuka secara bebas. Orang ramai boleh melaluinya pada bila-bila masa. Tetapi perlu awas dengan gajah yang sering berkeliaran di kawasan lebuh raya dan kadang kala duduk di atas jalan.

Lebuh Raya Timur Barat kini menjadi laluan utama menghubungkan kawasan utara dengan Pantai Timur. Ia memendekkan masa perjalanan dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak ke Kelantan khususnya, dan sebaliknya.

Namun kemalangan maut yang sering berlaku menimbulkan persoalan adakah lebuh raya tersebut tidak selamat? Mungkin tidak adil membuat kenyataan sedemikian kerana di lebuh raya lain kemalangan juga berlaku.

Selain itu, faktor kecuaian manusia juga boleh dikaitkan dengan kemalangan. Mereka tidak berhati-hati ketika memandu. Benar, kemalangan ketentuan Allah, tetapi perlu sentiasa waspada. Jika satu pihak berwaspada tetapi pihak lain cuai, kemalangan boleh berlaku.

Namun pada pengamatan penulis yang telah melalui Lebuh Raya Timur Barat beberapa kali, lebuh raya tersebut tidak diselenggara dengan baik. Permukaan jalan tidak rata, berlubang, bertampal-tampal di merata tempat serta tinggi rendah kerana tampalan tidak sama rata.

Selain itu banyak bahagian jalan yang permukaannya kasar seperti jalan batu kerikil, bukan jalan tar. Ini juga boleh menjadi punca kemalangan. Permukaan jalan tidak sempurna boleh menyebabkan kenderaan terbabas.

Tidak diketahui kenapa Lebuh Raya Timur Barat tidak diberi perhatian dan ‘rawatan’ sewajarnya oleh pihak berwajib sedangkan keadaan tidak sempurna ini sudah lama wujud.

Memetik Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, kerajaan negeri telah membangkitkan isu jalan lebuh raya berkenaan kepada kerajaan Persekutuan. Ini susulan banyak rungutan daripada pengguna mengenai keadaan jalan yang teruk serta sering berlaku kemalangan.

Menurutnya, kerajaan negeri sedar serta prihatin dengan masalah di lebuh raya berkenaan. Namun kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan pusat kerana laluan tersebut ialah jalan Persekutuan.

Justeru diharap kerajaan pusat melalui Kementerian Kerja Raya melaksanakan segera kerja membaik pulih jalan Grik-Jeli ini demi keselamatan pengguna. Turap semula jalan dan pastikan tiada lagi lubang dan lopak atau tampalan ikut suka hati.

Lebuh Raya Timur Barat mesti setanding dengan lebuh raya lain. Jangan biar keadaan teruk sekarang berlanjutan. Risikonya terhadap pengguna sangat tinggi.Mereka berhak menggunakan lebuh raya dengan selesa dan selamat. Tetapi pengguna juga mesti sentiasa berhati-hati di jalan raya.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply