
ARENA tiga sukan Malaysia kehilangan seorang jagoannya yang serba boleh dan mencapai gelaran ‘triantarabangsa’ (triple internationals) – Datuk Ng Boon Bee yang diumumkan telah meninggal dunia, 4 petang semalam.
Boon Bee, anggota skuad badminton negara yang menjulang Piala Thomas 1967 juga pernah bermain sebagai sayap kiri pasukan bola sepak Malaya juara hatrik Pestabola Merdeka 1958, 1959 dan 1960.
Anak jati Ipoh, Perak ini juga sempat menyarung jersi pasukan ragbi kebangsaan.
Pemergian mendiang dilaporkan laman Facebook rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

“BAM berdukacita dimaklumkan dengan kehilangan pemain legenda beregu ini pada usia 84 tahun.
“Boon Bee membentuk sebuah beregu lelaki terhandal pada 1960-an dengan Datuk Tan Yee Khan yang menjuarai Sukan Asia Jakarta 1962 dan Bangkok 1966, Seluruh England 1965 dan 1966 serta Terbuka Malaya/Malaysia enam kali.
“Beliau kemudian bergandingan dengan (mendiang) Datuk Punch Gunalan juga memenangi pingat emas Sukan Asia Bangkok 1970 dan Sukan Komanwel Britain Edinburgh 1970 serta Seluruh England 1971,” lapor laman berkenaan.
Koleksi kejayaannya juga dilebarkan dengan pingat emas Sukan SEAP Rangoon 1961, Kuala Lumpur 1965, Bangkok 1967 dan Kuala Lumpur 1971, Kejohanan Asia 1962 dan 1969 selain dilantik sebagai Ahli Dewan Kemasyhuran Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 1998 dan MOM 2004.
“Mendiang sentiasa dalam ingatan BAM dan semoga keluarga, rakan-rakan dan yang tersayang tabah menghadapi detik-detik sukar ini,” tambah laporan itu.
Boon Bee yang lahir pada 17 Disember 1937 juga pernah ditabalkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 1968.

Stadium Merdeka, Kuala Lumpur juga menyaksikan kejayaan beliau menjuarai Pestabola Merdeka 1958 dengan rakan sepasukan seperti Ahmad Nazari Min Zohari, Jalil Che Din, Rahim Omar, Chan Tuck Choy, Abdul Ghani Minhat, Sexton Lourdes, S. Govindarajoo, Mok Wai Hong, Wong Kim Seng dan Robert Choe.
Malaya menewaskan Indonesia 3-2 diikuti Hong Kong 3-0 sebelum seri 0-0 dengan Singapura namun mengatasi Vietnam Selatan 2-0 pada perlawanan terakhirnya dalam liga untuk bergelar juara kali pertama dalam edisi kedua itu.
Setahun kemudian, pasukannya mengulangi kejayaan itu selepas menundukkan Vietnam Selatan 4-3, seri dengan India 1-1 dan mengatasi Hong Kong 2-1 secara liga sepusingan.

Bersama pasukan negeri kelahirannya, Perak, mereka muncul naib juara Piala Malaya pada 1959 dan 1960 setelah ditewaskan Selangor 4-0 dan Singapura 2-0 di Stadium Merdeka.
Pada 1960, Boon Bee dan rakan-rakan melengkapkan hatrik sebagai juara Pestabola Merdeka bersama Korea Selatan setelah seri tanpa jaringan sehingga masa tambahan selain mengalahkan Jepun 3-0, Thailand 8-2 dan Pakistan 1-0 dalam liga Kumpulan B.

Tujuh tahun kemudian menyaksikannya membantu Malaysia merampas Piala Thomas daripada Indonesia dengan memenangi perlawanan akhir yang kontroversi kerana gangguan dan rasa tidak puas hati berterusan para penonton di Istora Senayan, Jakarta, 6-3.
Beliau juga pernah beraksi dalam pertunjukan badminton pada Sukan Olimpik Munich 1972.

Hasil perkahwinannya dengan Datin Tong Yee Cheng, pasangan ini memiliki dua anak, Gillian dan Thomas (dinamakan sempena pengasas Piala Thomas, Sir George Alan Thomas). — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.