UiTM - Foto via blogspot.com
Celoteh Kak Feez

AKAK Alumni UiTM. Dulu zaman akak belajar di sana ia masih dipanggil ITM. Di situlah tempat mula nak belajar jadi dewasa. Menyiapkan diri untuk menghadapi dunia kerjaya selepasnya. Selama tiga tahun di ITM Shah Alam memang banyak memberi pengajaran dalam kehidupan akak.

ITM sekarang dah jadi UiTM. Usia institusi keramat bagi kami Alumni ini dah menginjak lebih 60 tahun dan menghasilkan lebih kurang 1 juta alumni.

Ia juga berkembang pesat dengan lebih 20 cawangan serta lebih 20 fakulti pengajian.
Tapi Kak Feez rasa yang tak berkembangnya adalah sistem tadbir urus UiTM ni.

Kak Feez mungkin melihat dari luar dan sebagai rakyat marhaen, logik akal pemikiran akak juga biasa bagi perkara yang akak rasa macam tak berapa nak biasa.

Sejak kebelakangan ni, Kak Feez tengok UiTM ni galak betul memanggil semula tenaga kerja mereka yang telah bersara untuk memegang jawatan secara kontrak di dalam UiTM.

Bahasa mudahnya, mereka yang dah pencen tu dipanggil semula untuk bekerja di dalam UiTM. Sudah tentu panggilan keramat ini melibatkan mereka yang sebelum ini memegang jawatan-jawatan tinggi di dalam UiTM sebelum bersara.

Bahasa pasarnya TNC pencen, masuk semula bekerja jadi Ketua Jabatan atau Unit. Rektor pencen, masuk semula jadi Dekan. Bab ni Kak Feez tak tahu nak bangga tang mana?

Apakah UiTM yang begitu besar dengan jumlah kakitangan lebih kurang 18,000 orang ini sudah ketandusan bijak pandai yang boleh mengisi kekosongan jawatan mereka yang sudah bersara?

Kalau beginilah caranya, di manakah ruang dan peluang yang diberikan kepada kakitangan yang sedia ada untuk menyasarkan tahap profesion tertinggi mereka di dalam UiTM.

Perkara ini boleh melemahkan semangat dan juga mampu menurunkan ‘self-esteem’ kakitangan yang sedia ada yang berpotensi tinggi bagi menerajui UiTM satu hari kelak.

Ada juga, tenaga pengajar yang dihantar melanjutkan pengajian di luar negara dengan biasiswa atau pinjaman varsiti, bila pulang lebih berminat untuk menceburi bahagian urus tadbir dan korporat universiti dari menjadi tenaga pengajar. Ini bagi Kak Feez juga satu kerugian. Ada yang berkata “itulah salah satu cara nak naik cepat, betulkah?”

UiTM memang sentiasa di hati akak. Apabila keadaan seperti ini berlaku ia benar-benar menyentap rasa hati ini.

Kak Feez ramai je kengkawan dan waris walak yang bekerja di dalam UiTM. Keluh kesah mereka sering Kak Feez dengar. Ada antaranya mengambil jalan ringkas untuk menamatkan perkhidmatan di dalam UiTM kerana melihat tiada masa depan di sana. Itu belum bab politik dalam pejabat, dalam jabatan. Mencaras, mencantas dan macam-macam istilah. Bingit gak telinga ni.

Kita yang mendengar pastinya tidak terluka seperti mereka yang merasa. Memang bukan mudah untuk mengendali institusi sebesar UiTM tapi peganglah pada asasnya. Yang utama, yang dah pencen, biar mereka pencen. Masa mereka dah sampai.

Kak Feez amat berharap, VC UiTM dapat melihat perkara ini dengan lebih serius. Ini tidak boleh dijadikan norma di dalam UiTM.

Sebagai wanita pertama yang dilantik menjadi Naib Canselor UiTM, pastinya naluri kewanitaan kami sama. Yang pernah menjadi ibu, ketelitiannya lebih mendalam. Sekilas ikan di air, jantan betinanya dah diketahui.

Kalau tidak masakan tangan yang menghayun buaian bisa menggegar dunia.
InsyaAllah.

— BebasNews

Leave a Reply