Thursday, August 18, 2022
Home Berita/News Barangan dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia dicukai

Barangan dibeli dalam talian dan dihantar ke Malaysia dicukai

online shopping, amazon, shop
Photo by Preis_King on Pixabay
KUALA LUMPUR — Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Cukai Jualan (Pindaan) 2022, yang bertujuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas barangan dibeli secara dalam talian dan dihantar ke Malaysia.

RUU itu diluluskan dengan undian suara.

Ia bertujuan meminda Akta Cukai Jualan 2018 bagi mengenakan cukai jualan ke atas barangan bernilai rendah dijual secara dalam talian.

Bacaan pertama RUU itu dibentangkan Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Becaan kedua dan penggulungan RUU itu dibentang oleh Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah.

Pindaan itu bagi memasukkan peruntukan baharu dalam Bahagian III(A) untuk mentakrifkan “barang bernilai rendah”, “penjual” dan “penjual berdaftar”.

Berdasarkan draf RUU itu, takrifan penjual kini akan termasuk orang menjual barangan bernilai rendah atau mengendalikan suatu pasaran secara dalam talian tanpa mengira kewarganegaraan atau lokasi geografi.

Sebelum ini, akta berkenaan mengenakan cukai jualan ke atas barangan dikilang atau diimport ke Malaysia. Ini bermakna hanya pengilang dan pengimport berada bawah bidang kuasa menteri kewangan.

Pindaan itu juga memberi kuasa kepada menteri atas nasihat ketua pengarah dari semasa ke semasa mengubah suai terma dan syarat bagi maksud melaksanakan tujuan akta berkenaan.

Subseksyen 57A(1) dicadangkan bertujuan memperuntukkan sekiranya ketua pengarah pada bila-bila masa mendapati terdapat pengurangan kuantiti barang bercukai dalam keadaan biasa sepatutnya berada dalam kawasan khas.

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/04/dewan-rakyat-lulus-ruu-cukai-jualan/

— BebasNews

Leave a Reply