Ecolest9 bergambar bersama Identity Award yang dimenangi di Silverstone London.

SHAH ALAM — Pertandingan F1 In Schools Peringkat Dunia yang diadakan di Silverstone,
London pada 9 hingga 15 Julai tahun ini telah berjaya menganugerahkan dua anugerah untuk pasukan Ecolest9 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini.

Pegawai Pengiring Ecolest9 ke London, Kashnani Mat Nor berkata, kejayaan tersebut amat berbaloi dengan pengorbanan anggota Ecolest9 sejak menyertai kejohanan tersebut di peringkat kebangsaan hingga ke peringkat dunia.

“Pasukan Ecolest9 telah berjaya menaiki pentas untuk menerima dua anugerah pada kejohanan tersebut.

“Kita memenangi Identity Award dan hadiah ditaja oleh pihak Ferrari dan kita turut memenangi Pit Display Award,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, pertandingan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana Ecolest9 perlu bersaing dengan 53 pasukan dari seluruh dunia.

Mengulas mengenai pengalaman yang dikutip oleh para peserta, Kashnani berkata, pertandingan F1 In Schools turut mendidik mereka dalam aspek penajaan, pemasaran, media, strategi dan kewangan.

“Selain itu pelajar perlu mengasah bakat kepimpinan bagi memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing.

“Pertandingan ini bukan sahaja berkaitan inovasi teknologi automotif tetapi bagaimana pelajar bekerjasama untuk mencapai sesuatu objektif yang ditetapkan terutama semasa bersaing dengan pelajar dari seluruh dunia,”katanya. — BebasNews

Leave a Reply