Populariti lagu Gadis Jolobu diangkat ke layar lebar dalam bentuk romantik komedi.

HARI ini, 4 Ogos bermulalah tayangan filem, Gadis Jolobu The Movie di semua Golden Screen Cinemas (GSC). Filem arahan CL Hor yang ke-80 itu tercetus ekoran populariti lagu Gadis Jolobu dendangan Waris bersama Datuk Hattan.

Filem bergenre komedi romantik itu bukan sahaja mengetengahkan dialek Negeri Sembilan, malah, mengangkat keunikan adat pepatih dan keunikan budaya Minangkabau sebagai tarikan.

Pengasas dan Pengarah Zebra Studio Sdn. Bhd., Saraleana Nattaya Azmi berkata, idea menghasilkan filem ini tercetus ketika bertemu dengan Hattan pada 2019.

“Ia susulan sambutan lagu duet Hattan bersama Waris, Gadis Jolobu meraih tontonan hampir 10 juta menerusi laman YouTube.

Hattan sebagai Atan dan Ahirine Ahirudin sebagai Jijah dalam Gadis Jolobu The Movie.

“Sebagai legenda rock, Hattan tidak pernah memegang watak hero sepanjang berkecimpung dalam industri seni tanah air,” katanya.

Tambah Saraleana lagi, pihaknya juga berbincang dengan Hattan untuk menghasilkan filem yang mempunyai elemen muzikal dan banyak lagu seperti zaman Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan filem Bujang Lapok dulu.

“Bukan senang menampilkan filem genre komedi yang ada sentuhan klasik, tetapi pengarah berpengalaman seperti CL Hor berjaya merealisasikannya,” katanya.

Untuk merealisasikan projek tersebut, Zebra Studio bekerjasama dengan syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment.

Filem ini mengangkat keunikan adat pepatih dan budaya Minangkabau sebagai tarikan.

Filem yang menelan kos RM2.5 juta itu diterajui pelakon, penyanyi dan pelawak berpengalaman seperti Datuk Hattan, Khir Rahman, Joey Daud serta memperkenalkan bintang baharu yang juga pengacara, Ahirine Ahirudin.

Mengulas penampilan Ahirine, kata Saraleana, sebagai penerbit visinya adalah untuk mengetengahkan bakat baharu dalam industri seni.

“Pengarah, CL Hor sendiri memilih Ahirine menerusi proses uji bakat. Ahirine bukan sahaja memiliki kecantikan asli, malah, sanggup belajar dialek Negeri Sembilan walaupun dibesarkan di bandar.

“Saya berpuas hati dengan hasil lakonan Ahirine sebagai muka baharu dalam industri seni,” katanya tentang bakat baharu yang melakonkan watak Jijah itu.

Gadis Jolobu The Movie adalah filem Melayu kedua arahan CL Hor.

Beralih cabaran sebagai penerbit, Saraleana berkata, dia perlu menyelesaikan penggambaran filem Gadis Jolobu The Movie dalam tempoh 14 hari ditetapkan.
“Penggambaran filem membabitkan lokasi sawah padi di Kampung Lonek, Batu Kikir, Negeri Sembilan pada Mac lalu.

“Saya turun padang dalam keadaan cuaca panas untuk memastikan filem ini selesai penggambaran dalam tempoh ditetapkan.

“Saya bersyukur kerana GSC memberi sokongan pada pembikinan filem dan memilih tarikh tayangannya pada 4 Ogos ini,” katanya.

Menyentuh soal kutipan filem, Saraleana berkata, dia tidak menyasarkan kutipan pecah panggung di pawagam tempatan.

Sinematografi filem ini memang cantik kerana mahu tonjolkan keindahan Malaysia kepada orang luar.

“Kami terbit filem Gadis Jolobu The Movie untuk pasaran Malaysia dan peringkat global. Selepas selesai tayangan di pawagam tempatan pada Ogos, filem ini akan dibawa ke Brunei Darussalam, Indonesia dan Thailand.

“Kami juga merancang untuk melakukan wayang pacak filem Gadis Jolobu The Movie sekitar Negeri Sembilan pada September depan,” katanya.

Sementara itu, CL Hor mengakui yang dia gembira berpeluang melakukan penggambaran di kawasan kampung.

“Saya memang berimpian untuk mengarah filem sebegini kerana bagi saya, Malaysia ada banyak tempat menarik yang boleh ditonjolkan.

Saraleana Nattaya Azmi (tiga dari kiri), pengasas Zebra Studio yang berkolaborasi dengan Tremendous Entertainment untuk menjayakan filem Gadis Jolobu The Movie.

“Bila dapat peluang melakukan penggambaran di kampung, saya rasa begitu teruja dan saya selalu nak bawakan suasana kampung ke layar lebar. Untuk memberitahu dunia luar yang Malaysia sangat cantik,” katanya yang mengarah filem Melayu kedua selepas Haq yang dihasilkan pada 2010.

Meskipun filem ini menggunakan dialek Negeri Sembilan, CL Hor tidak menganggap ia sukar kerana dia kerap berpandu kepada skrip.

“Tak sukar untuk faham dialog Negeri Sembilan kerana kami sentiasa membaca skrip dan dari situ, kami terjemah menjadi dialek. Tak susah untuk faham.

“Saya guna banyak body language, kalau ada yang tak faham apa yang dituturkan oleh setiap karakter, penonton tetap akan ketawa bila melihat pergerakan tubuh badan si pelakon,” jelasnya.

Lakonan Joey Daud (Ajoi) dan Khir Rahman (Acong) cukup serasi.

Menerusi filem ini, Hattan membawa watak Atan, Joey Daud (Ajoi) dan Khir Rahman (Acong).

Gadis Jolobu The Movie memaparkan kisah tiga bujang terlajak yang rapat sejak kecil dan berusaha mencari jodoh di kampung halaman.

Sumpahan ‘lambat sunat, lambatlah kahwin’ sering bermain dalam fikiran menyebabkan mereka berusaha mencari jodoh walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Ahirine Ahirudin menjadi pilihan pengarah kerana dia boleh melakonkan adegan lasak.

— BebasNews

Leave a Reply