DARI kiri: Azlina Jahaya, Zaiton Abdullah, Wahid Satay dan Dr. Md. Nasir Ibrahim.

BAGAI yang telah dijanjikan kira-kira pukul 1.00 petang baru-baru ini, ‘rombongan’ Program Ziarah Prihatin FINAS yang diketuai, Ketua Pegawai Eksekutif, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim, tiba di kediaman Seniman Wahid Satay, pangsapuri blok 9 tingkat 10 di Eunos Cresent, Singapura.

Bagi menghormati permintaan tuanrumah dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) hanya lapan orang dibenarkan masuk dan perlu disanitize sebelum memasuki rumah berkenaan demi keselesaan semua.

Dari luar pintu, saya sudah terpandang sesosok tubuh figura yang cukup terkenal yang dibaluti baju batik warna coklat berlengan panjang, seluar coklat dan bersongkok dihiasi jahitan corak benang kuning yang cukup popular dengan pelbagai watak dalam filem-filem Melayu era 1960an -1970an lakonannya.

Walaupun sosok tubuhnya kelihatan berbeza kerana faktor usia tetapi senyuman dan sikap ramahnya menyambut kedatangan Dr. Md. Nasir Ibrahim dan isteri, Pengerusi Puspanita Finas, Azlina Jahaya cukup menyentuh hati. Dalam pertemuan itu, Wahid Satay menerima sumbangan melalui Program Ziarah Prihatin FINAS (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia).

APALAH yang mencuit hati Dr. Md. Nasir Ibrahim dan Wahid Satay.

Setelah bertanya khabar dan memperkenalkan diri, Pak Wahid menjemput tetamu duduk sambil beliau menyingkap kisah silamnya bermula sebagai pelakon.

Karier lakonan Pak Wahid bermula ketika bekerja sebagai tukang cat di Studio Cathay Keris.

Disebalik tugasnya sebagai tukang cat, sifat humor yang dimiliki menarik minat pengarah L. Krishnan sebelum menawarkan beliau berlakon.

“Pontianak” yang diterbitkan pada tahun 1957 adalah filem pertama lakonannya yang telah menjulang namanya sebagai pelakon malah kejayaan filem itu juga telah ‘melenyapkan’ nama sebenarnya A. Wahid.

SENIMAN Wahid Satay bersama Allahyarham Alias Congo dalam satu babak filem “Pontianak.”

“Ketika filem ini ditayangkan selama tiga bulan ia berjaya mengalahkan filem Hollywood, ‘Samson and Delilah.’

“Bukan itu sahaja, malah pemilik Cathay, Loke Wan Tho mahu menukar nama saya daripada A.Wahid kepada Wahid Satay kerana watak saya sebagai penjual sate dalam filem berkenaan.

“Mulanya saya tak setuju sebab nama bapak saya bukan Satay tetapi apabila beliau memberitahu sebabnya dan sanggup ‘bayar’ RM2,000 bermula saat itu nama saya dari A. Wahid menjadi Wahid Satay,” cerita Pak Wahid sambil ketawa kecil ketika membuka sejarah hidupnya sebagai seniman Studio Cathay Keris yang cukup popular pada era 1950-an sehingga tahun 1970-an.

Bermula dari “Pontianak” satu demi satu filem beliau lakonkan dengan memegang watak utama antaranya “Sumpah Pontianak” (1958), “Che Mamat Parang Tumpul” (1960), “Badang” (1962) dan “Naga Tasik Chini” (1966) berjaya mengekalkan popularitinya sebagai pelakon dengan gaji bulanan sebagai residen artis sebanyak RM600.

Filem terakhir lakonannya ialah “Senario XX” yang diterbitkan Grand Brilliance Sdn. Bhd. pada tahun 2005.

Bakat dan kebolehan Wahid Satay bukan setakat berlakon dan meniru suara burung, ayam dan pelbagai lagi malah setiap kali membuat persembahan pentas beliau lebih suka meniru gaya pelakon komedi Hollywood iaitu Jerry Lewis sehingga beliau digelar ‘Jerry Lewis Malaya.’

Kebolehannya itu telah menarik minat seorang pengarah dari Hollywood!

Pepatah Melayu ada berkata “tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa yang tahu” namun bagi seniman legenda, Wahid Satay beliau tidak pernah sekalipun menyesali takdir hidupnya.

Bagi beliau segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya dan sebagai manusia beliau menerimanya dengan penuh reda.

Betapa tidak jika sebelum ini kita pernah diberitahu mengenai Allahyarham Seniman Ibrahim Pendek dari Studio Malay Film Productions (MFP) merupakan satu-satunya artis Melayu berpeluang berlakon filem Hollywood pada tahun 1962 “The Spiral Road” bersama mendiang, Rock Hudson, namun tahukah anda Pak Wahid juga pernah ditawarkan berlakon di Hollywood.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahi beliau apabila dua minggu sebelum berangkat ke Hollywood produser yang menawarkannya berlakon meninggal dunia sebelum beliau sempat ke sana.

“Sudah bukan rezeki saya tetapi saya tidak menyesal hasrat untuk melebarkan sayap saya ke sana tidak kesampaian,” cerita Pak Wahid.

Menurut beliau semuanya bermula apabila produser dari Hollywood berkenan dengan personaliti beliau yang suka meniru gaya Jerry Lewis.

WAHID Satay (dua dari kiri) dan Allahyarham Datuk Mustapha Maarof (kanan) ketika menghadiri festival filem di luar negara

“Saya suka tengok gambar Jerry Lewis dan kemudian saya membuat persembahan pentas tetapi dengan style sendiri.”

Disebabkan kemampuannya meniru gaya Jerry Lewis dengan gayanya tersendiri setiap kali membuat persembahan ‘one man show’ beliau digelar ‘Jerry Lewis of Malaya.’

Produser Cathay Organisation ketika itu, Loke Wan Tho sendiri memberi jaminan untuk menemani beliau ke Hollywood.

WAHID Satay dalam dua karakter berbeza

Pak Wahid, ayah kepada enam orang anak dan datuk kepada lebih daripada 16 cucu ketika menceritakan pengalamannya sebagai pelakon berkata;

“Berlakon dalam filem pertama Pontianak bersama seniwati Datuk Seri Maria Menado pada tahun 1957 adalah hadiah bermakna dalam hidup saya. Ia bukan sahaja membuka lembaran baru dalam hidup saya malah filem berkenaan telah meletakkan populariti saya di kelas tersendiri sebab itulah mendiang Loke Wan Tho syorkan saya agar menggunakan nama Wahid Satay.”

Pak Wahid yang telah berlakon lebih 30 filem sepanjang perjalanan hidupnya sebagai anak seni sampai saat ini tidak dapat melupakan apabila Allahyarham Datuk S. Roomai Noor menawarkan beliau berlakon filem “Badang” sambil berkata;

“Sebenarnya waktu itu Allahyarham sudah menjalankan ujibakat terhadap 22 orang tetapi khabarnya semuanya tidak sesuai. Allahyarham mahukan seorang yang kurus dan tinggi dan baginya saya paling sesuai.

“Pada mulanya saya menolak tetapi akhirnya saya terima. Saya diberitahu Badang ini bukan cerita dongeng malah kuburnya panjang dan masih ada di Indonesia ketika itu.

“Sampai saat ini setiap kali orang bertanya mengenai filem Badang ada dua perkara yang saya ingat. Pertama tentang muntah yang Badang makan sebenarnya hanyalah kuah dalca roti canai dan yang paling mengerikan sungai lokasi di mana Badang memakan muntah sebenarnya ada buaya. Saya hanya tahu tentang buaya selepas penggambaran berakhir.”

WAHID Satay sebagai “Badang.”

Selain berlakon, Pak Wahid Satay boleh meniru suara haiwan antaranya ayam dan burung yang mana beliau dapat ketika menjelajah ke Afrika dan suaranya sering digunakan sebagai latar belakang filem-filem tertentu terbitan Cathay.

Bukan itu sahaja, malah beliau juga boleh melukis dan halus dalam menghasilkan kerjatangan yang kini tersimpan kemas di rumah berkenaan.

Setelah lebih setengah jam berbual sambil menyelusuri perjalanan hidupnya sebagai anak seni, ketika ditanya pekerjaannya sebelum berlakon, Pak Wahid berkata;

“Ketika usia saya 16 tahun saya bekerja sebagai kelasi kapal dan saya sudah merantau ke seluruh dunia.

“Ketika itu tugas hakiki saya menyelam dan membuka tali pukat yang terbelit pada kipas kapal ketika belayar. Disebabkan itu, sehingga hari ini telinga kiri saya tidak boleh mendengar lagi.”

Apabila ditanya andaikata tidak berlakon, apakah kerja pilihan beliau, tanpa teragak-agak Pak Wahid berkata;

“Jika tidak kerana Pontianak saya akan kekal sebagai kelasi kapal sehingga usia bersara.”

WAHID Satay bersama anak, menantu dan cucu-cucunya pada Hari Raya Aidilfitri sebelum PKP.

— BebasNews

Leave a Reply