APIT kanan Universiti Malaysia, Khairul Hafifi Tajudin (jersi merah) saling cuba menujah bola di udara dengan pemain Universiti Thailand, Sutthikiart Pansenkaew. – Foto UT

APIT kanan Universiti Thailand, Varayut Jantarasena (kiri) membuat rejaman gulung yang cuba ditampan pemain Universiti Malaysia, Muir Haziq Morali. – Foto KPT

DUA kali lima juga! Harap-harap skuad Universiti Malaysia, rupa-rupanya mereka turut tertiarap dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-20.

Seperti mana skuad negara dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand minggu lalu, mereka ditundukkan Universiti Thailand 3-0 hari ini dan terpaksa akur dengan pingat perak sahaja di Stadium Sekolah Tinggi Benchama Maharat, Ubonratchatani.

Kekalahan perlawanan terakhir liga sepusingan selama 195 minit ini sekali gus menghadiahkan pingat emas sepak takraw acara regu berpasukan AUG 2022 kepada tuan rumah.

Universiti Malaysia turut diperkuatkan dua tekong skuad negara pemenang pingat perak Sukan SEA Vietnam, Mei lalu iaitu Zuhri Muhammad Zain dan Faisal Fuad.

FAISAL Fuad, tekong regu kedua Universiti Malaysia yang berpengalaman Sukan SEA Vietnam, Mei lalu, turut gagal menyerlah dalam AUG di Ubonratchatani. – Foto KPT

Tuan rumah pula memiliki tekong dan apit kiri, Pisit Tinbangbon dan Apirug Sopa yang masing-masing bersaudara dengan dua tonggak juara Piala Raja Thailand Ke-35 dan Sukan SEA Vietnam, Pornthep Tinbangbon dan Phutawan Sopa.

Namun Zuhri dengan perejam, Amir Syahiran Mohd. Fuzi dan pengumpan, Muhammad Aiman Hakim Zakari ditewaskan regu pertama lawan, Pisit, Tanaphon Sapyen dan Mongkhon Patthawong 13-21, 12-21.

Faisal yang diapit Muir Haziq Morali di kanan dan kiri, Mohammad Nazhan Noor Zamri dalam regu kedua juga kecundang 11-21, 12-21 kepada Khathadet Srichan, Varayut Jantarasena dan Porawet Siriswat.

Regu ketiga, Muhammad Imran Omak, Khairul Hafifi Tajudin dan Wan Muhammad Syazwan Wan Mohd. Asri pula dikalahkan Chadawut Thongkhaw, Natthapong Kotchapaksri dan Apirug 21-15, 13-21, 14-21.

SKUAD Universiti Malaysia memanaskan badan di gelanggang sebelum perlawanan. Zuhri Zain di kanan. – Foto ZA

Kelmarin Universiti Malaysia bimbingan dua bekas pengumpan dan tekong negara, Zulkarnain Arif dan Ahmad Sufi Hashim menumpaskan Laos 3-0 (21-14, 21-13), (21-19, 21-15), (21-14, 21-14) dalam masa 155 minit.

Hanya Thailand, Malaysia dan Laos yang menghantar penyertaan dalam acara regu berpasukan ini manakala Myanmar cuma menyertai antara regu dan beregu.

Esok Universiti Malaysia (A dan B) akan beraksi dalam acara beregu dan antara regu yang turut membabitkan Universiti Thailand, Universiti Laos dan Universiti Myanmar dalam sesi pagi dan petang.

Kelapan-lapan pasukan universiti ini (A dan B) akan berentap dalam format kalah singkir.

ZULKARNAIN Arif (kiri) dan Ahmad Sufi Hashim (kanan) merakam swafoto dengan skuad Universiti Malaysia yang memenangi pingat perak regu berpasukan sepak takraw AUG 2022. – Foto ZA

Leave a Reply