Foto Facebook

KUALA LUMPUR — Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) kecewa dan terkilan dengan tindakan pegawai tertinggi kerajaan yang didakwa menengking dan mengeluarkan kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (JIM) semalam.

Menurut KPISM, tindakan tersebut disifatkan sebagai tidak profesional.

Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin berkata, tindakan berkenaan juga dianggap biadab dan tidak menghormati entiti perkhidmatan awam itu sendiri.

“Kejadian antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi itu dipercayai berpunca daripada ketiadaan pegawai JIM di kaunter Bilik Orang Kenamaan (VIP), Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sepatutnya bertugas 24 jam.

“Kejadian berlaku kerana keperluan pegawai bertugas di kaunter biasa lebih diperlukan, berbanding kaunter bilik VIP yang hanya akan dibuka apabila ada keperluan dan mendapat pemakluman awal.

“Ketua Operasi Imigresen KLIA dipanggil, ditengking dan diherdik serta diminta supaya berdiri tegak di tengah khalayak ramai oleh pegawai tinggi itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Khairil Niza berkata, sikap pegawai tertinggi berkenaan yang mahukan layanan VVIP juga menunjukkan sikap pentingkan diri serta tidak cakna dengan kesusahan rakyat dan orang awam yang sabar beratur menunggu giliran dalam melepasi pemeriksaan di kaunter biasa.

“Pegawai yang ditengking serta diperlakukan sedemikian adalah seorang pegawai yang cekap, berhemah dan sentiasa responsif dengan sebarang situasi di tempat kerja.

“Kejadian ini amat mengguris hati pegawai JIM lain keseluruhannya dan permohonan maaf perlu dibuat secara terbuka, selain menjadi contoh yang baik kepada penjawat awam dan rakyat,” katanya.

Kenyataan media —

— BebasNews

Leave a Reply