KEMPEN #TakNakScam pada tahun ini akan memfokuskan lima jenis penipuan dalam talian yang paling berleluasa iaitu penipuan e-dagang, pinjaman wang haram, penipuan
pekerjaan, penipuan pelaburan dan keldai wang.
Kempen ini akan terus menggesa orang awam supaya berwaspada menerusi tiga langkah mudah: “Kenal Pasti, Semak, Lapor” iaitu mengenal pasti, mengesahkan dan
melaporkan penipu-penipu menerusi langkah-langkah seperti:
1. Modul Pencegahan Penipuan ‘We Think Digital’: Melalui program andalan celik digital Meta, modul-modul ini akan disediakan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
untuk meningkatkan pendidikan awam yang turut boleh memperolehi petua berguna dan kaedah mengenal pasti, menangani dan melaporkan aktiviti penipuan dalam laman web
itu.
2. Pendidikan orang awam secara imersif: Meta akan menarik penyertaan orang awam menerusi pelbagai format kandungan seperti Instagram AR Filters untuk membawakan
pengalaman belajar yang lebih imersif.
3. Mengimbangi pendidikan antara pengguna dan penjual: Meta akan menambah fokus ke arah mendidik penjual tentang cara melindungi pelanggan dan pengalaman jenama
mereka di platform kami, lapor siaran media Meta Malaysia, hari ini.
Meta Malaysia membina teknologi yang membantu manusia berhubung umpamanya menerusi Facebook sejak 2004 selain aplikasi Messenger, Instagram dan WhatsApp, mencari komuniti, dan mengembangkan perniagaan.
Kini, penerokaan Meta melangkaui skrin 2D ke arah pengalaman imersif seperti realiti terimbuh dan maya demi membina evolusi seterusnya dalam teknologi sosial.
“Meta Malaysia hari ini mengumumkan inisiatif baharu #TakNakScam ke seluruh negara bersama kehadiran rakan kongsi utama kempen termasuk Jabatan Siasatan Jenayah
Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa
Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia (CSM), Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Gabungan
Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
“Kempen #TakNakScam Meta dilancarkan buat julung kalinya pada bulan Julai tahun lalu untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang cara mengenal pasti,
menyemak dan melaporkan taktik pemerdayaan yang digunakan oleh penipu.
“Kempen lima bulan tersebut mendapat sambutan yang baik daripada orang awam dan meraih 2.3 juta capaian dan 105,000 klik pada pautan menerusi pelbagai saluran media
sosial,” lapor siaran berkenaan.
Kempen ini terus diperhebat memandangkan 48,850 atau 68 peratus daripada 71,833 kes yang disiasat JSJK PDRM, membabitkan penipuan dalam talian dengan kerugian
berjumlah lebih RM5.2 bilion.
“Penipuan e-Dagang merekodkan 5,851 kes pada 2020, 9,569 kes tahun lalu dan 3,833 kes sehingga Mei lalu. Penipuan pekerjaan pula merekodkan 350 kes penipuan
manakala pinjaman dan pelaburan merekodkan 11,875 penipuan antara 2020 hingga bulan Mei lalu.
“KPDNHEP menerima 24,018 aduan mengenai penipuan dalam talian dan penipuan menerusi media elektronik semasa pandemik sejak 2020 hingga 17 Februari lalu,
melibatkan kerugian berjumlah RM21.7 juta,” lapor siaran itu.
Kempen influencer melalui Rakan Kongsi Pemasaran Meta mempunyai jumlah capaian sebanyak 4.8 juta dan jumlah penglibatan sebanyak 23,007.
Kempen itu turut mendapat sokongan selebriti tempatan Chef Wan yang berkongsi pelbagai kandungan sosial berkaitan kempen ini yang dicapai lebih 1.38 juta kali.
“Antara 2018 sehingga 2021, MCMC juga berjaya menyekat 1.6 juta panggilan yang mencurigakan daripada sampai kepada rakyat Malaysia. Sebarang penyalahgunaan saluran
ICT untuk tujuan buruk seperti penipuan merupakan kesalahan yang boleh dikenakan tindakan,” menurut siaran berkenaan.

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.