KUALA LUMPUR — Semalam bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad memberi bayangan bahawa beliau akan menubuhkan gagasan parti politik Melayu yang baharu.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil, Tun Dr. Mahathir berkata, gagasan parti politik tersebut kononnya untuk menyatupadukan orang-orang Melayu.

“Dia lupa selama ini dialah yang memecahkan perpaduan orang-orang Melayu di Malaysia.

“Dia bergaduh dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dekat 30 tahun lepas lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh PKR,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Isham berkata, Tun Dr. Mahathir bergaduh dengan Pak Lah (Tun Abdullah Badawi) hampir 15 tahun lepas lalu orang Melayu menjadi lemah dan hilang dua pertiga kerusi di Parlimen.

Jelasnya lagi, Tun Dr. Mahathir bergaduh dengan Datuk Seri Najib Razak hampir tujuh tahun lalu berpecah orang Melayu dan tertubuh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Dia bergaduh dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dua tahun lepas lalu berpecah Bersatu dan tertubuhnya Pejuang.

“Dia kalah pilihanraya di Johor hilang deposit di semua kerusi lalu dia tak puas hati dan ingin tubuh gagasan parti Melayu untuk pecah lagi undi Melayu,” katanya.

Mengulas lanjut Isham berkata, tindakan Tun Dr. Mahathir ini menguntungkan Pakatan Harapan dan DAP sahaja.

Ini disebabkan katanya lagi, dia tahu adalah sukar untuk dia menang kerusi dalam pilihanraya oleh itu dia hanya boleh pecah undi Melayu.

“Jika dia berjaya pecah undi Melayu, maka PH dan DAP yang akan menang dan untung. Mungkin ini rancangan sebenar dia, sebab ramai kroni-kroni dan taikun-taikun yang sokong dia juga sokong PH dan DAP.

“Mahathir dan kroni-kroni dan taikun-taikun ini tidak kisah akan kesusahan rakyat atau orang-orang Melayu. Sebab itu dulu semasa dia (Mahathir) berkuasa dia kata jangan iri hati kepada orang kaya, dan bila rakyat susah dia suruh rakyat ikat perut dan jangan harap bantuan kerajaan.

“Siapa yang undi Mahathir dan gagasan parti baru dia ini akan undi kroni, taikun dan sanggup ikat perut bila susah kerana untuk jaga orang kaya,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply