Festival Kota Selatan 2022 akan bermula esok, 6 Ogos, di Dataran Sungai Melaka, Menara Taming Sari dan Jonker Walk, Melaka.

BERMULA pada 6 dan 7 Ogos ini bertempat di Dataran Sungai Melaka, Menara Taming Sari dan Jonker Walk, Melaka Bandaraya Warisan Dunia, orang ramai dapat menyaksikan Festival Kota Selatan (FKS 2022).

FKS 2022 merupakan satu lagi Program Pelancongan Budaya anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

FKS 2022 merupakan program pelancongan budaya sempena sambutan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO.

MOTAC menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor beserta gandingan rakan strategik NGO Melaka iaitu Pertubuhan Seni Kesidang Sari (PERSIDANG) dan Persatuan Rebana Keras Klebang Besar Melaka berganding bahu menjayakan FKS 2022.

Bertemakan “Temasya Seni Budaya Rakyat Selatan Semenanjung Malaysia”, festival ini mengetengahkan pelbagai aktiviti berteraskan seni budaya dan warisan merangkumi aspek keusahawanan, gaya hidup dan pencungkilan bakat muda negeri Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Program ini juga adalah sebahagian daripada acara sambutan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO.

Mesran Mohd. Yusop harap FSK 2022 dapat mempromosikan keunikan budaya menerusi seni persembahan, seni busana, loghat daerah serta kepelbagaian adat resam rakyat.

Sepanjang festival berlangsung, orang ramai berpeluang melihat Malam Gala Kota Selatan Vaganza, Pertandingan Peragaan Busana Melaka Zaman Gemilang, Persembahan Sentuhan Selatan/Showcase Seni Budaya-Kesenian rakyat Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, Pertandingan “Sarung Kita” Senam Seni bersama Batik Sarung Malaysia dan Pertarungan Joget & Zapin.

Antara kumpulan persembahan yang terlibat menjayakan Malam Gala FKS 2022 ialah Kumpulan Kesenian JKKN Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, Kombo Kumpulan Kesenian Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Kumpulan Muzik Asli Institut Warisan Melaka (INSWA) dan Gabungan Badan Seni Budaya Bukan Kerajaan Negeri Melaka yang turut menampilkan Pertubuhan Seni Kesidang Sari (PERSIDANG).

Lain-lain kumpulan yang mengambil bahagian ialah Kumpulan Tarian Singa Jonker Walk, Kumpulan Komuniti Chitty Kampung Gajah Berang, Melaka, Persatuan Baba Nyonya, Kumpulan Kesenian Perkampungan Portugis, Ujong Pasir, Melaka, Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, Persatuan Rebana Keras Klebang Besar, Persatuan Bhangra Melaka, Persatuan Silat Gayung Fatani Melaka, Pusat Warisan dan Kebudayaan Melayu Melaka (PERANTARA).

Sempena FKS 2022 pelbagai aktiviti dapat disertai dan ditonton.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Mohd. Yusop dalam satu kenyataan berkata, FKS 2022 yang diadakan secara fizikal dan bergilir mengikut negeri iaitu Melaka, Negeri Sembilan dan Johor ini berjaya menyerlahkan apresiasi kesenian rakyat di wilayah masing-masing.

“Selain itu, ia juga dapat mempromosikan keunikan budaya menerusi seni persembahan, seni busana, loghat daerah serta kepelbagaian adat resam rakyat selatan semenanjung Malaysia.

“FKS 2022 diharapkan dapat menemukan idea dan medan pertemuan baharu para karyawan dan semua yang terlibat dalam sektor seni budaya dan warisan di seluruh Malaysia dalam usaha merancakkan dan memacu sektor industri budaya, warisan dan pelancongan untuk disepadukan sebagai salah satu bentuk ekosistem ekonomi dan perdagangan yang baharu hasil gabungan antara usaha melestarikan kandungan seni, budaya, warisan di samping usaha memupuk generasi muda bersekali dalam sektor terbabit,” katanya.

Pelbagai acara menarik disediakan untuk orang ramai sempena FSK 2022.

Bagi mendapatkan maklumat dan keterangan lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang JKKN iaitu www.jkkn.gov.my ataupun boleh layari facebook JKKN melalui pautan www.facebook.com/mysenibudaya.

— BebasNews

Leave a Reply