Inilah bas yang akan diguna sewaktu siri jelajah Suria FM sepanjang Ogos ini.

SELEPAS Covid-19, esok (6 Ogos) untuk kali pertamanya stesen radio Suria FM kembali memulakan siri ‘Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell’ di Kuantan City Mall, Kuantan, Pahang.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin berkata, setelah hampir dua tahun tidak menemui peminat sejak berlakunya pandemik di tanah air, kini Suria FM kembali turun padang.

“Kelainan pada kali ini kita bawa lebih ramai artis 90-an turun padang. Saya percaya kebanyakan kita ada yang membesar dengan lagu-lagu dendangan mereka. Bagi saya untuk mengaktifkan industri muzik dan menghargai bakat-bakat sumbangan 90-an, kita perlu babitkan mereka.

“Dalam apa yang kita buat, jangan lupakan mereka, jangan kita fokus pada satu golongan artis saja kerana tiada yang lama tak akan ada artis yang baharu. Jasa artis 90-an banyak kepada kita, menghiburkan kita masa kita study di universiti dan sebagainya,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell di Shah Alam, baru-baru ini.

Stesen radio Suria FM memulakan Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell di lokasi pertama, Kuantan City Mall, Kuantan, Pahang, 6 Ogos 2022.

Antara barisan penyanyi 90-an yang akan turut serta dalam siri jelajah di empat lokasi tersebut ialah Ziana Zain, Ella, Dayang Nurfaizah, Zamani Slam, Amir UK’s, Alim Kris, Liza Hanim, Amelina, Muss (Mus May), Safura, Hatta Junction, Kumpulan Boboy, Poey Stings, Renggo Arrow, Rahmad Mega, Man Bai dan Wan Lestary.

“Ini paling ramai melibatkan artis 90-an sebab sebelum ini pentas jelajah kita bawa satu atau dua orang saja artis lama. Tapi kali ini setiap satu lokasi kita ada empat hingga lima artis 90-an dan vibenya pun berbeza. Kita harap penonton yang datang tu datanglah dengan tema 90-an dengan jeans, denim, polkodot dan sebagainya.

“Bagi kami di Suria FM, ini salah satu cara untuk kami memberi kembali dan membantu rakan-rakan artis 90-an untuk sama-sama merasa dan berkongsi rezeki. Semua peringkat lapisan artis merasa. Bagi saya baru ada keseimbangan dengan menggabungkan artis lama dan baharu,” katanya terus terang.

Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin mahu pastikan penonton terhibur dan sebab itu ada kelainan untuk siri jelajah kali ini.

Memandangkan sasaran pendengar Suria FM adalah dalam lingukungan usia 24 tahun hingga 39 tahun, maka sasaran tersebut termasuk juga jumlah pendengar muda yang umur awal 20-an.

Untuk golongan yang membesar dengan lagu-lagu baharu ini, Suria FM turut membawa Haqiem Rusli, Siti Nordiana, Nuha Bahrin, Naufal Azrin, Ara Johari, Dolla, Yonnyboi, Imsomniacks, Tajul, Afieq Shazwan, Fieya Julia, Amir Masdi, Iman Troye dan ramai lagi.

“Menariknya, untuk setiap lokasi, pihak Suria FM mengaturkan gandingan antara artis 90-an dengan artis popular masa kini yang akan nyanyikan lagu popular dendangan artis 90-an itu. Kita akan letakkan di penghujung persembahan sebagai klimaks.

Barisan penyampai radio Suria FM akan turut serta dalam siri jelajah dan bersiaran dari lokasi.

“Di setiap lokasi, persembahan akan bermula pada pukul 1.30 petang sampai 6 petang dengan dua sesi. Satu pre jelajah yang bermula pada pukul 1.30 sampai pukul tiga. Sesi ini kita menyediakan pentas untuk artis yang betul-betul baru merakamkan lagu, artis yang tak pernah dikenali dan artis yang nak perkenalkan bakat mereka, seperti Farah Rose.

“Bagi kami sebagai sebuah stesen radio adalah menjadi satu tanggungjawab untuk kami beri laluan istimewa kepada artis baharu untuk timba pengalaman dengan membuat persembahan di khalayak umum.

“Jelajah Suria adalah signature untuk Suria FM dan setiap kali kita buat jelajah memang full house. Selalu kita buat dalam mall, dari bawah sampai atas penuh dan tak pernah kosong. Kami percaya kali ini sambutan akan lagi hebat bila kita bawa artis legenda bersama dan ramai rindu untuk bertemu dengan penyampai Suria FM juga.” katanya lagi.

Antara barangan eksklusif keluaran Suria FM yang boleh didapati di setiap lokasi jelajah.

Menariknya setiap lokasi yang bakal disinggah seperti Aman Central, Alor Setar, Kedah (13 Ogos), Paradigm Mall, Johor Bahru (20 Ogos) dan IOI Mall 2, Putrajaya (27 Ogos), pelbagai hadiah menarik disediakan untuk penonton.

“Kita juga ada bagi pelbagai hadiah menarik kepada penonton yang datang. Kita sediakan empat buah motosikal, sebab kita rasakan ramai orang dalam kesusahan sekarang. Dalam waktu yang sama memberi kembali kepada pendengar dan berkongsi rezeki.

“Lain-lain hadiah adalah empat buah basikal lipat, barang-barang elektrik dan pakej percutian. Setiap lokasi akan kita bagi satu motor, satu basikal lipat yang berharga lebih kurang RM1,500 dan barang elektrik, set sama di setiap lokasi,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply