Gambar hiasan

KUALA LUMPUR — Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyelesaikan siasatan susulan pendedahan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kepincangan perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Pergerakan Pergerakan Pemuda UMNO tersebut berkata, ini berikutan laporan SPRM dipercayai telah dibuat sejak tahun lepas, namun sehingga hari ini belum ada apa-apa maklumat mengenai hasil siasatan atau tindakan di peringkat Peguam Negara.

“Pemuda UMNO beranggapan jika wujud sebarang salah laku, penyelewengan mahupun unsur-unsur rasuah, pihak SPRM harus segera mengambil tindakan tegas dan pantas membawanya ke pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya termasuk pendakwaan.

“Selagi tiada pendakwaan mahupun tindakan tegas undang-undang bagi sebarang bentuk salah laku, selagi itulah pelbagai polemik bakal timbul seolah-olah kepincangan didiamkan dan dibiarkan berlaku begitu sahaja,” katanya dalam posting di Facebooknya hari ini.

Terdahulu media melaporkan, PAC menyenaraikan sembilan rumusan punca kepincangan projek pembinaan enam buah LCS untuk kegunaan TLDM itu.

Antara kepincangan tersebut ialah kerajaan gagal mengesan masalah kewangan BNS berhubung perolehan LCS semasa melakukan penilaian terhadap syarikat berkenaan.

Laporan PAC juga mendedahkan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6.083 bilion untuk projek LCS, namun tiada sebuah kapal LCS pun yang disiapkan.

Rentetan daripada itu, PAC turut mengemukakan tujuh syor penambahbaikan, yang antaranya menyarankan Kementerian Pertahanan melihat semula opsyen dan menetapkan hala tuju terbaik bagi projek LCS dan memastikan wang awam dibelanjakan secara bertanggungjawab. — BebasNews

Leave a Reply