graduation cap, graduation, cap
Photo by McElspeth on Pixabay Gambar hiasan
Oleh Aminun Nabil Ahmad Syahir dan Muhammad Safwan Harun (Ph.D)

PENDIDIKAN dan kerjaya merupakan dua perkara yang saling berkait di mana asas kepada kerjaya hadapan seseorang lazimnya berdasarkan pendidikan dan pelajaran yang dimiliki baik dalam bentuk formal mahupun tidak formal.

Sungguhpun begitu, berdasarkan data yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, didapati lebih 72 peratus rakyat Malaysia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Peningkatan peratusan dalam hal ini boleh disifatkan sebagai suatu perkara yang sangat mendukacitakan dan merisaukan. Hal ini kerana, kehidupan masa kini adalah berbeza dengan zaman 1980-an dahulu kerana SPM atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sudah cukup untuk seseorang itu mencari pekerjaan.

Keadaan sudah berubah, pemegang Ijazah Sarjana Muda sendiri belum tentu dijanjikan menjanjikan sebarang pekerjaan. Rumusan ini seolah-olah membenarkan dapatan dalam kajian selidik yang dilakukan. Dalam erti kata lain, tiada faedah untuk belajar tinggi sekiranya tiada jaminan pekerjaan kelak.

Namun, seseorang itu perlu sedar bahawa dengan mempunyai tahap pendidikan yang lebih tinggi ia membolehkan mereka bersaing dalam dunia pekerjaan yang lebih mencabar.

Jika dilihat daripada satu sudut, mudah untuk kita katakan bahawa generasi milenia ini sudah tidak mementingkan ilmu dan pembudayaan ilmu itu sendiri dalam kehidupan mereka.

Ini disebabkan itu mereka mudah membuat rumusan bahawa menyambung pengajian itu hanyalah sebuah pilihan. Malah ada juga yang sanggup berhenti pengajian untuk mengejar kemewahan material yang lebih lumayan.

Dalam hal ini, prospek kerjaya pada masa hadapan merupakan antara kriteria utama pertimbangan masyarakat sebelum membuat keputusan untuk menyambung pengajian.

Dengan cabaran peluang pekerjaan yang terhad dan keadaan ekonomi semasa yang tidak stabil, generasi muda dilihat lebih memilih untuk mencari pekerjaan berbanding sambung belajar kerana tidak memerlukan kos kewangan, malah dapat menghasilkan pulangan seawal usia. Apatah lagi, corak pemikiran masyarakat kini seolah-olah telah beralih kepada material adalah segala-galanya.

Malah, terdapat segelintir pelajar lepasan SPM yang beranggapan lebih baik bekerja dahulu untuk ambil peluang melatih diri dalam suasana kerjaya hakiki. Apabila mempunyai kewangan yang cukup, baru diteruskan niat untuk sambung belajar.

Tidak dinafikan, pada masa sekarang dunia kerjaya menawarkan pelbagai ruang dan platform untuk sesiapa sahaja berkecimpung apatah lagi ada bidang yang tidak memerlukan latar belakang pengajian yang tinggi. Antara contoh peluang tersebut ialah dalam sektor ekonomi gig yang lebih mudah untuk menghasilkan wang tanpa terikat dengan masa bekerja. Cukup sekadar berbekalkan keinginan dan kenderaan asas, mereka boleh terus mula menjana kewangan pada bila-bila masa sahaja.

Berbeza dengan kerja makan gaji, sektor ekonomi gig akan memberikan pulangan segera yang lebih lumayan jika mereka bersungguh dalam meningkatkan prestasi mereka.

Di samping itu, tanggapan yang kerap bermain dalam fikiran generasi muda juga adalah menyambung pengajian itu sesuatu yang membebankan.

Menurut Callender iaitu seorang pengkaji dari England, peningkatan beban pelajar terhadap hutang pengajian mereka adalah satu faktor utama yang menyebabkan mereka tidak bermotivasi untuk menyambung dan meneruskan pengajian terutamanya daripada golongan keluarga berpendapatan rendah.

Tidak dinafikan yuran pengajian yang ditetapkan di Universiti tanah air agak tinggi sehingga mencecah puluhan ribu. Malah ramai yang merungut kerana berasa sangat terbeban dengan jumlah hutang yang akan ditanggung selepas tamat pengajian.

Tetapi satu perkara yang perlu diterapkan dalam diri setiap penuntut ilmu ialah perjalanan dalam meneroka dunia keilmuan ini memerlukan pengorbanan sebagai bayarannya. Dengan kesusahan serta kepayahan yang dialami akan membuat kita lebih menghargai setiap titis ilmu yang dipelajari. Bahasa mudahnya, inilah lumrah seorang penuntut ilmu. Malah hal yang sama dilalui dalam kalangan sarjana-sarjana terulung zaman berzaman.

Dalam era jaringan Internet yang meluas, ramai individu khususnya golongan anak muda yang menjadikan platform ini sebagai tapak mereka untuk menjana pendapatan secara sambilan atau sepenuh masa.

Antara lambakan kaedah penjanaan wang yang digunakan termasuklah menjual secara atas talian, paid review, online tutor, content creator dan sebagainya. Kebanyakan anak muda sekarang sama ada di bangku persekolahan mahupun remaja mudah dipengaruhi oleh influencer atau pempengaruh yang hidup dalam kesenangan dengan hanya membuat content hiburan untuk ditonton di balik skrin kaca telefon seperti melalui YouTube, TikTok mahupun Instagram.

Rata-rata daripada pempengaruh ini juga mendapatkan hasil pulangan dengan menggunakan kecantikan dan rupa paras terutamanya wanita sebagai highlight utama mereka. Dalam konteks ini, wanita sering digunakan sebagai strategi pengiklanan yang dianggap berkesan dalam mempromosikan isi media sosial mereka oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sungguhpun telah wujud beberapa peraturan dan kriteria dalam industri ini namun ia tetap diabaikan kerana sifat tamak dan terdesak untuk mendapatkan keuntungan. Pengabaian ini menyebabkan maruah wanita diperkotak-katikkan. Kesannya maqasid dalam penjagaan maruah (hifz al-‘ird) wanita tidak tercapai dalam pengiklanan yang dilakukan. Tidak dinafikan hasil yang boleh diperoleh lebih lumayan daripada kerja yang memerlukan pendidikan tinggi. Akan tetapi pihak yang terlibat perlu merujuk kepada garis panduan asas berpandukan syariah sebagai jaminan keadilan yang sepatutnya kepada golongan wanita.

Jika kita telusuri kembali sejarah ketamadunan Islam, tersebarnya agama ke seluruh pelosok dunia bukan hanya bergantung dengan kekuatan ketenteraan dan kebendaan semata- mata, tetapi yang paling utama adalah kerana khazanah ilmu pengetahuan yang banyak dan peradaban agama yang sangat tinggi.

Berdasarkan fakta sejarah, dinyatakan bahawa zaman kepimpinan Harun Ar-Rasyid adalah zaman yang paling gemilang dalam garis masa peradaban Islam. Ketika penduduk Eropah masih berada dalam zaman kegelapan, kota Baghdad yang merupakan ibu kota dinasti ini telah ke hadapan menjadi pusat peradaban, kebudayaan dan ilmu pengetahuan yang cahayanya menerangi seluruh dunia.

Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa pendidikan merupakan jambatan untuk menuju kepada puncak kemajuan. Masyarakat yang berilmu akan memiliki nilai-nilai moral yang tinggi yang hanya dapat direalisasikan melalui pendidikan. Masyarakat yang bermoral juga
akan hidup bersatu padu serta berupaya untuk mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni sekali gus dapat menstabilkan tahap sosioekonomi negara. Pendidikan sewajarnya menjadi dekat dengan masyarakat.

Pendidikan seharusnya menjadi penyelesai kepada masalah- masalah yang melanda masyarakat dan menjadi pemangkin kepada lahirnya masyarakat yang maju, bersatu padu dan berdaya saing. Sekolah dan universiti harus menjadi tempat yang paling membahagiakan agar proses pembelajaran berjalan dengan penuh keseronokan yang mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu.

Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan kesemua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang agar kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Sistem pendidikan yang holistik, berkualiti dan bersepadu dipercayai mampu menghasilkan insan yang seimbang dan cemerlang.

Berilmu dan berpendidikan seharusnya menghasilkan insan yang berbudi pekerti baik dan berakhlak mulia justeru mampu menjadi ciri-ciri asas seorang individu unggul dalam keluarga dan masyarakat.

Muhamad Safwan Harun

Penulis kini berkhidmat di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply