PEMAIN Universiti Malaysia A, Faisal Fuad (tengah) cuba menampan libasan gulung Boonkoom Thipwong dari Universiti Thailand A dalam pusingan pertama beregu, hari ini. Universiti Malaysia A tewas 0-2 dan gagal ke separuh akhir. – Foto UT

MASIH ada satu regu dan satu beregu Universiti Malaysia yang meneruskan pemburuan pingat emas kedua-dua acara sepak takraw itu dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-20, 2022 di Stadium Sekolah Benchama Maharat, Ubonratchathani, Thailand.

Universiti Malaysia A mara ke separuh akhir acara antara regu namun bakal berdepan Universiti Thailand A, esok setelah menewaskan Universiti Myanmar A 2-1 dalam pusingan pertama berformat kalah singkir, hari ini.

Universiti Malaysia B pula turut sudah menjamin sekurang-kurangnya pingat gangsa acara beregu kerana tiada play-off tempat ketiga namun mampu menukar warnanya jika berjaya mengalahkan Universiti Thailand B juga dalam separuh akhir.

Terdahulu Universiti Malaysia B (Zarfan Khairon Anuar dan Wan Muhammad Syazwan Wan Asri/Najmi Syahfiq Anuar) mengatasi Universiti Myanmar B (Kyaw Yazar Moe dan Thet Hmue Zaki/Htet Hlake Oo) 2-1 (17-21, 21-15, 21-17) dalam pusingan pertama beregu.

KHAIRUL Hafifi Tajudin (5) gagal membantu regu Universiti Malaysia B setelah disekat Universiti Thailand B dalam pusingan pertama kalah singkir antara regu, hari ini. Mengadang libasannya ialah pemain tuan rumah, Sutthikiart Pansenkaew dalam saingan regu berpasukan, semalam. – Foto UT

Terkandas seawal pusingan ini ialah regu Universiti Malaysia B (Najmi Syahfiq Anuar, Khairul Hafifi Tajudin dan Aiman Hakim Zakari) yang disekat Universiti Thailand B (Kritsada Sungvung, Sutthikiart Pansenkaew dan Apirug Sopa) 0-2 (17-21, 12-21).

Begitu juga beregu Universiti Malaysia A (Ahmad Badrie Amin dan Amir Syahiran Mohd. Fuzi/Faisal Fuad) yang tewas 0-2 (17-21, 13-21) kepada Universiti Thailand A (Boonkoom Thipwong dan Sirisak Anuloon/Nattapong Kotchapaksri).

Semalam, skuad bimbingan Zulkarnain Arif dan Ahmad Sufi Hashim ini sekadar mengucupi pingat perak acara regu berpasukan setelah ditumpaskan Universiti Thailand 0-3 (13-21, 12-21), (11-21, 12-21), (21-15, 13-21, 14-21).

PEMAIN Universiti Malaysia B, Khairul Hafifi Tajudin (kanan) cuba mengadang tujahan tapak apit kanan Universiti Thailand B, Sutthikiart Pansenkaew dalam saingan antara regu. – Foto UT
APIT kanan Universiti Malaysia, Amir Syahiran Fuzi (kanan) turut bermain dalam acara beregu hari ini. Dia cuba menampan rejaman Tanaphon Sapyen dari Universiti Thailand dalam perlawanan pertama regu berpasukan, semalam. – Foto UT
SKUAD Universiti Malaysia meraih pingat perak acara regu berpasukan sepak takraw AUG 2022, semalam selepas ditumpaskan Universiti Thailand 3-0 dan mengalahkan Universiti Laos 3-0. – Foto UT

Leave a Reply