SERDANG -– Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diadakan bila-bila masa sekiranya semua pihak telah bersedia dan ada parti menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Menurutnya, ia terserah kepada sesiapa untuk membuat keputusan termasuk parti-parti politik namun kesannya perlu dilihat sekiranya ada parti yang menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Katanya, jika kerajaan tumbang kerana ada parti tarik sokongan maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu.

“Jadi, kalau semua bersedia ke arah pilihan raya, maka tiada pilihan untuk kita adakan pilihan raya.

“Jadi, kerajaan sentiasa bersedia dalam apa sahaja keadaan… kalau bersedia hadapi pilihan raya, maka kita akan adakan pilihan raya. Kalau tak bersedia, masih lagi kerajaan ini kekal, memang kita akan pertimbangkan tarikh pilihan raya mengikut isu-isu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA 2022) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan, beliau telah menyebut beberapa kali pilihan raya tetap diadakan namun hanya tarikh untuk mengadakannya belum ditentukan.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya ada pihak yang menarik sokongan terhadap kerajaan sebelum tarikh pilihan raya ditentukan, pihaknya akan mengambil tindakan kemudian tetapi bukan oleh parti kerana tiada kenyataan rasmi dikeluarkan mengenainya.

“Jadi, mungkin satu dua orang sahaja yang mengeluarkan kenyataan dan ada dalam kalangan ahli parti berkata, ini tidak dibawa ke dalam mesyuarat. Itu mungkin pandangan peribadi.

“Jadi saya tak boleh ambil tindakan, mesti berdasarkan kenyataan rasmi parti,” ujarnya.

Sebelum ini, sebuah akhbar bahasa Inggeris dipetik melaporkan bahawa Perikatan Nasional (PN) didakwa sedang menimbang untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Laporan itu mendakwa ia kerana Ismail Sabri tidak menunaikan apa yang dikatakan sebagai perjanjian untuk melantik ahli Parlimen Bersatu sebagai timbalan perdana menteri.

Ismail Sabri dilaporkan dijadual bertemu delegasi PN berhubung perjanjian itu namun ia dibatalkan di saat akhir.

Sumber asal — https://malaysiagazette.com/2022/08/06/belum-ada-kenyataan-rasmi-parti-tarik-sokongan-jika-ada-kena-pru-pm/

— BebasNews

Leave a Reply