SIAPA ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara? Tunggu penghujung bulan ini, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar atas, tengah).
“Penyandangnya turut akan hadir bersama sebuah pasukan teknikalnya dengan FAM sudah mencapai antara 70 dan 80 peratus untuk memuktamadkannya.
“Sebelum hujung bulan ini selewat-lewatnya, kami akan umumkan. Kami juga ambil kira pandangan Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donnel dan ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon.
“Pasukan ini kena buat persediaan awal, September ini sebab tahun depan mereka ada Sukan SEA Kemboja (Mei), Sukan Asia Hangzhou (September) dan Kelayakan Olimpik Paris 2024,” katanya.
Terdahulu beliau merasmikan Kongres Tahunan FAM Ke-58 di Petaling Jaya, Selangor.

Khidmat Bradley Maloney sebagai ketua jurulatih Bawah 23 Malaysia tidak disambung secara persefahaman bersama selepas pasukannya gagal meraih mata dalam peringkat kumpulan Piala Asia Bawah 23 Tahun di Uzbekistan, Jun lalu.
Ditanya bayangan calonnya kata Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, “ketua jurulatihnya perlu rapat dengan pasukan senior negara kerana pemain-pemainnya ialah pelapis yang akan menggantikan dan masa depan bola sepak kita.
“Siapa pun yang dilantik nanti, mesti mampu membawa nilai tambah pasukan dan lebih berkualiti,” katanya.


Hamidin juga memaklumkan bahawa undian Piala AFF 2022 yang membabitkan Harimau Malaya kendalian Pan-gon, akan dijalankan di Bangkok pada 30 Ogos ini.[/perfectpullquote]
“Minggu depan ini persediaan pasukan kebangsaan, kami akan umumkan (termasuk penyertaan pada Piala Raja Thailand, September ini).
“Pan-gon ketika Kelayakan Piala Asia Kumpulan C (pusingan ketiga di Bukit Jalil, Jun lalu) mahu kita ke Hong Kong dan Taiwan (persahabatan) tetapi saya tidak mahu dan selepas bincang semula, cuba cari pasukan yang lebih tinggi ranking dunianya,” katanya.
Mengenai skuad futsal dan bola sepak wanita negara kata Hamidin, penyandangnya kali ini ialah tenaga import.
“Disebabkan pertandingan untuk futsal dan bola sepak wanita tidak banyak, kami mahu ketua jurulatih import itu turut membantu program pembangunan cabang ini,” katanya.


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.