KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sudah berada di peringkat akhir siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, siasatan berkenaan projek perolehan berkenaan telah lama dijalankan SPRM sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, beliau bagaimanapun tidak dapat memaklumkan di peringkat mana dan apa keputusan mengenai siasatan itu.

“Perkara itu perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak berkaitan sebelum boleh didedahkan kepada umum.

“Buat masa ini pihak saya masih lagi reserve (tidak mahu) untuk memberi apa-apa kenyataan dan saya akan maklum kemudian apabila bersedia membuat pengumuman.

“Saya sudah pernah memberi kenyataan sebelum ini (mengenai siasatan). Saya kena menjaga sensitiviti hal penyiasatan dan kerahsiaan kes ini kerana bukan sahaja membabitkan SPRM tapi juga Jabatan Peguam Negara dan sebagainya.

“Sebab itu saya kena pastikan perkara ini diambil kira dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pertemuan Tahunan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) hari ini.

Azam menegaskan, terpulang kepada mana-mana pihak yang menggambarkan siasatan seperti belum dijalankan dan sebagainya selain menggesa SPRM untuk menyiasat.

“Perkara-perkara ini seperti mana saya pernah sebut sebelum ini, kadangkala saya tidak dapat memaklumkan apa-apa kepada umum. Sesuatu perkara yang semua perlu tahu belum masanya. Ayat seumpama ini ayat melencong walhal banyak kali saya katakan, kita telah menyiasat dan berada di peringkat akhir siasatan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan PAC yang dibentangkan pada Khamis minggu lalu.

Antara yang mendesak adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Berdasarkan laporan yang dibentangkan, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan, antaranya kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini. — BebasNews

Leave a Reply