AKSI separuh akhir antara regu AUG 2022 membabitkan apit kanan Universiti Malaysia A, Amir Syahiran Fuzi (4) dan perejam Universiti Thailand A, Varayut Jantarasena. – Foto UT

HANYA dua pingat gangsa sebagai sagu hati yang mampu disumbangkan regu Universiti Malaysia A dan beregu Universiti Malaysia B daripada sepak takraw Sukan Universiti ASEAN (AUG) Ke-20, 2022, hari ini.

Prestasi sederhana atau ‘Gred C’ itu diperoleh selepas kedua-duanya tumpas mudah 18-21, 8-21 dan 11-21, 14-21 kepada Universiti Thailand A dan Universiti Thailand B pada separuh akhir di Stadium Sekolah Benchama Maharat, Ubonratchathani, Thailand.

Regu Malaysia A terdiri daripada tekong Faisal Fuad, perejam Amir Syahiran Fuzi dan pengumpan Nazhan Noor Zamri yang ditundukkan Khathadet Srichan, Varayut Jantarasena dan Poramet Siriswat.

Beregu Universiti Malaysia B menampilkan Zarfan Khairon Anuar dan Wan Muhammad Syazwan Wan Asri/Najmi Syahfiq Anuar.

TEKONG Universiti Malaysia A, Faisal Fuad membuat servis tapak yang cuba memerangkap Universiti Thailand di depan jaring. – Foto UT

Universiti Thailand A dan B membolot pingat emas dan perak kedua-dua acara ini selepas mereka bertembung dalam final, beberapa jam kemudian.

Secara keseluruhan, Universiti Malaysia bimbingan dua pemenang pingat perak Sukan Asia Doha 2006, Zulkarnain Arif dan Ahmad Sufi Hashim hanya membawa pulang sebutir pingat perak (regu berpasukan) dan dua pingat gangsa (antara regu dan beregu) AUG 2022.

PEMAIN Universiti Malaysia B, Najmi Syahfiq Anuar (kiri) melakukan adangan terhadap rejaman gulung pemain Universiti Thailand A dalam separuh akhir beregu sambil diawasi Wan Muhammad Syazwan Wan Asri. – Foto UT

Leave a Reply