Selak Hassan Md NoorPERDANA Menteri, Ismail Sabri Yaakob bercakap lagi mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Seperti sebelum ini, katanya PRU dah dekat dan jika semua sudah bersedia tiada masalah untuk kerajaan membubarkan Parlimen.

Kata Ismail Sabri hari ini : “Kalau ada pihak yang menarik sokongan dan kerajaan tumbang, maka pilihan raya perlu diadakan selepas itu,”.

Bagaimanapun sekiranya masih belum bersedia dan kerajaan Keluarga Malaysia sedia ada masih kekal, beliau akan mempertimbangkan tarikh pilihan raya dengan meneliti isu-isu rakyat terlebih dahulu.

Berdasarkan perkembangan semasa sehari dua ini, timbul persoalan sama ada Perdana Menteri sedia ada yang bakal menentukan PRU atau sebaliknya mantan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang akan ‘membubarkan’ kerajaan hari ini.

Persoalan ini timbul apabila Ismail Sabri membatalkan pertemuan dengan delegasi Perikatan Nasional (PN) berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Berikutan itu timbul desas-desus kononnya Bersatu (tidak pasti pula Pas) akan menarik balik sokongan yang memungkinkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri terbubar dan PRU-15 perlu dilangsungkan.

Bersatu mungkin sudah hilang sabar kerana dua isu berkaitan jawatan dalam Kabinet dipandang sepi okeh Perdana Menteri sehingga timbul desas-desus PN akan menarik balik sokongan.

Pertama, menunggu bilakah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin digugurkan dari Kabinet selepas Ahli Parlimen Ampang itu meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kedua janji Ismail Sabri untuk memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) kepada PN atau lebih tepat kepada pemimpin Bersatu.

Apabila pertemuan yang dirancang bagi membincangkan jawatan TPM tidak menjadi kenyataan, timbul khabar kononnya PN akan menarik sokongan kepada Ismail Sabri sekaligus akan membuka laluan untuk PRU diadakan.

Bagaimanapun Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin berkata, parti itu tidak akan sewenang-wenangnya menarik sokongan terhadap Kerajaan Persekutuan sehingga perbincangan lanjut diadakan.

Maknanya jika rundingan gagal, Bersatu boleh sahaja pada bila-bila masa ‘menekan butang’ untuk memberi laluan PRU-15 diadakan.

Menyelak kembali isu ‘tekan butang’ ini teringat kata dua Muhyiddin semasa di Jasin tidak lama dulu sebelum Pilihan Raya Negeri Johor.

Katanya: “Jangan cabar saya. Sekarang saya boleh tekan semua butang, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku? Saya tak takut, tapi saya fikirkan nasib rakyat Johor,”

Kini, dengan dua isu tertangguh, ia samalah seperti mencabar Muhyiddin dan bila-bila masa sahaja mantan Perdana Menteri itu boleh ‘menekan butang’ pilihan raya tanpa ada sesiapa lagi boleh membantah.

Adakah Pas sama-sama akan membantu Muhyiddin menekan butang itu? Sebagai komponen PN, itu sudah pasti. Pas perlu akur.

Bagaimanapun pada masa yang sama, andai Bersatu ‘menekan butang’ tetapi tidak disambut Pakatan Harapan (PH), PRU-15 mungkin tertangguh.

Apa terjadi jika PH yang mahukan penggal Parlimen ditamatkan apabila sampai tempohnya beralih sokongan? Apa terjadi jika PH memberi kepercayaan kepada Ismail Sabri meneruskan pentadbirannya yang berbaki tidak sampai setahun itu?

Dalam hal ini, pilihan masih di tangan Ismail Sabri walaupun hakikatnya atas nasihat dan perbincangan melibatkan lima pimpinan tertinggi atau ‘Top Five’ UMNO.

Kita tunggu apa reaksi Muhyiddin andai tuntutan Bersatu masih tidak dilayan dalam tempoh terdekat ini. Nampaknya PN juga boleh menentukan bila PRU-15.

— BebasNews

Leave a Reply