SERDANG — Boustead Plantations Berhad (BPB) meneroka pasaran tanaman komersial seperti cili merah dan halia yang mampan dan dipacu teknologi dengan menandatangani perjanjian perkongsian antara anak syarikatnya, Boustead Agro Plantations Sdn. Bhd. (BAPSB) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BPB, Zainal Abidin Shariff berkata, kerjasama kedua pihak menandakan usaha sulung BPB dalam memanfaatkan sumber pasaran pertanian yang lain selain daripada perniagaan perladangan kelapa sawit huluannya yang sedia ada.

“Seterusnya kerjasama bersama PPK Kuala Langat menyumbang ke arah menjaga keselamatan makanan Malaysia.

“Ini juga selaras dengan Rangka Kerja Strategik lima tahun Kumpulan, satu rangka tindakan yang terperinci bertujuan untuk memperkukuh lagi teras strategik pertumbuhan BPB, yang antara lain termasuk inisiatif perniagaan tani,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Dokumen Persefahaman (DoU) yang ditandatangani pada Ekspo Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini hari ini.

DoU tersebut ditandatangani Pengarah BPB, Khairudin Ibrahim, manakala PPK Kuala Langat diwakili Pengerusinya, Dr. Ab. Razak Kasbollah.

Majlis menandatangani DoU tersebut disaksikan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Ustaz Datuk Dr.Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Katanya lagi, DoU tersebut mewujudkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam memulakan dan membangunkan projek tanaman komersial, iaitu cili dan halia, melalui asas turnkey dengan penggunaan sistem fertigasi pintar dan Internet Pertanian Pintar (IOT).

Sementara itu Ab.Razak berkata, PPK Kuala Langat menyediakan kepakaran teknikal, bimbingan dan latihan bagi memastikan penanaman berjaya.

“Tempoh perkongsian adalah dua tahun. DoU ini menandakan satu lagi peristiwa penting bagi kedua pihak kerana Kumpulan Boustead berusaha mengembangkan kawasan pertumbuhannya dalam industri pertanian dan PPK Kuala Langat sebagai organisasi di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) bersedia berkongsi kepakaran yang ada,” katanya. – BebasNews

Leave a Reply