Kredit - Facebook DATUK NUR JAZLAN MOHAMED
Oleh DATUK NUR JAZLAN MOHAMED

UMNO akan ‘mati’ dalam hati orang muda atau pengundi muda dalam tempoh 10 tahun lagi jika UMNO tak berani berubah.

Mungkin ramai yang terkejut dengan kenyataan saya ini tapi itulah realiti nasib UMNO pada PRU16 nanti jika parti ini masih dibuai dengan cara pemikiran lama. Hakikatnya dunia dan lanskap politik sudah banyak berubah.

Pengundi muda bakal mendominasi citarasa dan pilihan selepas PRU15 dan bermula PRU16 pula, pengundi matang UMNO hanya tinggal berapa kerat sahaja lagi. Oleh itu UMNO kena lakukan perubahan daripada sekarang; buat peremajaan bermula dari PRU15 ini. Masih belum terlambat untuk perubahan dilakukan jika kita bertindak segera.

Tambahan pula pada PRU15 nanti, dijangka lebih 4 juta pengundi berusia 18 tahun sudah didaftarkan secara automatik. Mereka ini bakal menjadi suara baharu dan dominan pada PRU-PRU akan datang.

Jika UMNO ingin memenangi hati pengundi-pengundi muda dan baru ini, UMNO perlu melaksanakan perubahan dari pelbagai aspek; perubahan pemikiran; perubahan pendekatan; perubahan kepimpinan dan perubahan pada calon-calon PRU15 nanti.

Adakah kita hanya nak lihat saja parti-parti lain seperti DAP, PKR dan MUDA mempengaruhi golongan muda ini, tanpa UMNO sendiri tak melakukan usaha ke arah itu? UMNO tak boleh lagi terlalu bergantung harap kepada pengundi-pengundi matang sedia ada saja sedangkan peluang untuk meraih sokongan pengundi 18 terbuka luas.

Saya menyokong penuh kenyataan Presiden UMNO pada Konvensyen BN Selangor bulan lalu, yang minta kepimpinan BN negeri itu memberi peluang kepada muka baru dan golongan profesional sebagai calon dalam usaha merampas kembali Selangor daripada PH.

Kata Zahid, golongan ‘warlord‘ BN sebagai orang politik perlu berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional dan orang muda sebagai calon-calon PRU15 nanti. Saranan Presiden UMNO itu sebenarnya bukan untuk BN Selangor saja tapi juga untuk semua BN negeri-negeri lain,

Kalaulah pandangan Presiden UMNO itu boleh diterima dengan hati terbuka atas semangat mengutamakan perjuangan parti, saya percaya masa depan UMNO/BN bertambah cemerlang di masa akan datang.

Apatah lagi perangai katak politik yang sebelum ini sudah lama bersarang dalam lanskap politik negara dan dulu hanya banyak libatkan politikus dari Sabah dan Sarawak saja. Tapi sejak sebelum PRU14 penyakit itu merebak pula ke Semenanjung bila Tun M dan Muhyiddin tubuhkan Bersatu.

Dan undang-undang anti lompat parti pun mungkin tidak akan berkesan kerana budaya politik sekarang ini hanyalah menggunakan nama parti sebagai kuda tunggangan untuk kepentingan peribadi.

Strategi itulah yang dilakukan oleh Syed Saddiq. Bila kecewa bersama Bersatu dan keinginan peribadi disekat atau dihalang, dia tubuhkan MUDA sebab dia nak jadi ketua.

Lagipun Syed Saddiq nampak lompang yang ditinggalkan oleh parti-parti politik sedia ada yang mengabaikan orang muda serta senario perubahan minda pengundi muda.

Secara jelasnya pengundi muda hari ini sudah tak hairan dengan cara politik lama dan penuh dengan retorik perjuangan demi bangsa dan agama. Orang muda lebih tertarik kepada politik movement based yang bermula dalam skala kecil tapi menarik cita rasa mereka sama ada bertentangan dengan budaya atau undang-undang semacam sudah jadi amalan biasa sekarang ini.

Sebab itulah bila ada pihak buat flash mob, petisyen dan piket politik, kita lihat ramai anak muda turun padang. Sampaikan ada politikus guna modal nak halalkan ganja pun, ada anak muda yang sokong.

Oleh itu UMNO kena berubah ikut trend semasa tapi dalam pendekatan penuh rasional untuk menawan hati pengundi muda ini. Kalau tak susahlah UMNO nak bawa orang muda bersama dalam gerakan parti di masa depan.

UMNO juga perlu sedar satu realiti yang cukup pahit untuk ditelan. UMNO tak boleh lagi terlalu berharap yang MCA dan MIC mampu berikan sumbangan besar kepada BN pada PRU15 nanti.

Ini kerana di sebalik kononnya dua parti kompenan itu sudah buat reformasi, masih tak nampak pengundi bukan Melayu berduyun-duyun kembali sokong mereka atau BN. Malahan calon-calon mereka masa PRN Melaka dan Johor juga 80 peratus masih bergantung kepada pengundi UMNO.

Adalah mustahil untuk MCA dan MIC lakukan perubahan drastik menjelang PRU15 ini. Sebab itulah sebaiknya UMNO perlu berubah segera supaya parti teras BN itu mampu menjamin kemenangan kelak.

Malah kewujudan MCA dan MIC yang amat bergantung kepada UMNO mungkin akan hilang ditelan masa depan kerana tak lagi relevan.

Saya tahu apa yang saya ulas kali ini sebenarnya sudah lama dan sudah banyak kali saya cakap; peremajaan UMNO.

Untuk PRU15 kali ini, saya teringin nak lihat UMNO lakukan perubahan besar dalam senarai calon-calon yang bakal bertanding.

Rehatkanlah lebih ramai kuda-kuda tua atau pemimpin veteran parti terutamanya mereka yang tiada lagi hati untuk berjuang atau bersama ketetapan parti. Dan berilah pula peluang kepada calon-calon muda untuk meneruskan legasi perjuangan UMNO.

Takkanlah kita nak melihat lagi ada calon-calon tua yang seusia dengan UMNO masih nak bertanding. Sudah cukup sudah kesempatan dan peluang diberikan kepada orang-orang lama ini untuk jadi pemimpin. Biarlah pemimpin pelapis pula pikul tanggungjawab untuk memimpin UMNO di masa depan.

Fokus utamanya adalah untuk kuda-kuda tua yang selama ini sibuk nak uruskan hal parti dan gabungan lain daripada ambil tahu pasal parti sendiri serta BN. Kuda-kuda tua inilah yang banyak merosakkan parti dan menimbulkan kekeliruan dalam akar umbi. Mereka bercakap bagi pihak Bersatu dan PAS selain mempersoalkan keputusan serta ketetapan UMNO.

Selepas dah puas jadi jurucakap Bersatu, kuda-kuda tua ini sibuk pula nak susun urusan dalam PN. Dia yang lebih-lebih bercakap mahu memperkukuhkan PN dan kerajaan sedangkan dia jadi menteri pun atas kouta UMNO. Memang jenis tak sedar diri.

Patutnya kalau dah sibuk sangat nak uruskan Bersatu dan PN, eloklah blah cepat join orang sebelah sana. Macam yang MP Puncak Borneo buat, dia terus masuk PBB sebelum RUU Anti Lompat Parti dikuatkuasakan. Senang cerita. Sebaiknya kuda-kuda tua tak sedar diri ini terus saja minta kerusi untuk mereka bertanding atas tiket PN pada PRU15 nanti. Jadi tak adalah menyusahkan UMNO dan BN lagi.

Bukan maksud saya mahu parti singkirkan terus pemimpin-pemimpin lama (selain kuda-kuda tua yang tak sedar diri) dalam UMNO ini, tapi jadikan mereka sebagai mentor kepada orang muda. Saya percaya dengan pengalaman luas dalam sepak terajang PRU dan politik, orang veteran ini boleh menyumbang banyak tunjuk ajar kepada bakal calon muda.

Mereka boleh membantu calon-calon muda merancang, merangka dan melaksanakan gerak kerja parti dan semasa berkempen nanti. Sudah pasti bila yang tua bergabung dengan yang mudah pasti meletoppp!

Cadangan saya ini bukan bermaksud tiada lagi calon orang lama yang berpengalaman dalam list calon UMNO nanti, cuma parti boleh seimbangkan jurang jumlah antara calon lama dan calon muda.

Formula ini sudah terbukti berjaya dalam PRN Johor. Bila lebih 40 peratus calon muka baru dan orang muda diketengahkan. UMNO/BN dapat kemenangan cemerlang di Johor, sampaikan PN dan PH tersungkurlah.

Mana-mana MP dan ADUN yang dah berpenggal-penggal jadi calon serta pegang, seeloknya direhatkan. Mana tidaknya ada yang sudah 20-30 tahun, rakyat asyik tengok muka sama saja jadi wakil rakyat mereka. Ada orang dari dalam buaian sampai dah dapat tiga kali pun mengundi, masih YB sama.

Saya percaya rakyat pun sudah jemu dan muak, asyik-asyik muka sama saja jadi calon dan wakil rakyat mereka. Rakyat dan pengundi pun perlukan angin perubahan dan penyegaran dalam pilihan calon. Mereka pastinya mahukan calon muka baru, yang muda, yang fresh dan boleh buat kerja dengan lebih efisien.

UMNO pun tak pernah ketandusan calon-calon muda berkaliber, berkarisma dan berkebolehan. Ramai orang muda dalam kalangan profesional, ahli agama, ahli perniagaan, korporat dan macam-macam latar belakang lagi yang boleh diangkat sebagai calon.

Cuma peluang dan ruang untuk mereka saja yang selalu dihadkan. Pilihlah dalam kalangan orang muda ini, kita beri peluang, kita asuh dan bimbing supaya untuk tempoh 20-30 tahun akan datang UMNO sudah memiliki warisan kepimpinan yang mantap.

Bila sentuh bab perubahan calon ini, saya amat bersetuju dengan kenyataan PM yang juga Naib Presiden UMNO. Beliau tak mahu ada unsur sabotaj calon pada PRU15 nanti.

Mana-mana pemimpin terutamanya orang lama tak kisahlah dia KB ke, TKB ke, NKB ke, KW ke yang tak terpilih lagi jadi calon, janganlah duduk sabotaj calon-calon terutamanya orang muda yang dipilih parti. Jangan boikot kempen, jangan hasut pengundi dan jangan buat adu domba supaya calon parti sendiri kalah sebab semata-mata tak puas hati diri tak tercalon.

KB-KB dan seluruh jentera Bahagian sepatutnya membantu kempen untuk sesiapa saja yang diberikan kepercayaan oleh parti untuk bertanding. Kalau calon parti yang menang nanti, yang untungnya UMNO. KB jaga orang-orang UMNO di seluruh Bahagian, YB pula jaga rakyat tanpa batasan kepartian di kawasan.

Sepatutnya UMNO boleh lihat contoh reformasi parti yang lebih junior seperti PKR. Pada pemilihan parti itu bulan lalu, ada perubahan besar yang berlaku dan dilakukan oleh perwakilan mereka apabila ramai orang muda diberi kepercayaan untuk berada dalam pimpinan atasan.

Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden diduduki oleh orang muda. Begitu juga Ketua Wanita PKR juga dipimpin oleh orang muda. Cuma jawatan Presiden saja yang masih dipegang orang tua; Anwar Ibrahim.

Malahan PKR juga sudah menyerahkan tugas untuk menggempur pihak lawan mereka kepada Panglima Gebu mereka, Rafizi untuk melaksanakan amanah. Itulah peremajaan parti yang seharusnya dibuat dalam menyerap perkembangan kehendak politik semasa.

Begitu juga dengan DAP, yang sudah lama banyak beri peluang kepada orang muda sebagai calon dan pemimpin parti.

Malah mereka kini sedang mendidik orang-orang muda daripada parti MUDA untuk dijadikan Rakan Muda dalam PRU15 selepas mereka merasakan tak boleh lagi bergantung harap sepenuhnya kepada parti Amanah.

Sekarang ini cuma tinggal UMNO, PAS dan Amanah saja yang masih dipimpin oleh ramai kuda-kuda tua. Takkanlah UMNO mahu jadi macam parti Pejuang yang ditubuhkan dan dianggotai oleh mereka yang ibarat hidup di zaman Jurassic?

Jadi kalau UMNO mahu terus kekal relevan dan diterima oleh rakyat terutamanya orang muda untuk tempoh 20-30 tahun lagi, UMNO kena berubah. Apatah lagi bila orang berusia 18 tahun sudah boleh mengundi, UMNO kena ada strategi untuk pegang kumpulan pengundi ini.

Cara orang tua mungkin susah untuk tarik orang muda. Biarlah orang muda ikut style orang muda untuk tackle hati geng mereka. Sebab itulah kita kena ‘balance’kan ratio calon orang lama dengan calon orang muda kalau kita mahu menang bergaya pada PRU15 nanti.

NOTA KAKI

Analogi kuda-kuda tua sama macam kisah kuda-kuda lumba yang dah patut pencen. Bila tak ada stamina lagi dan selalu tercorot dalam race, biasanya kuda-kuda lumba ini sudah direhatkan.

Sama ada dijual kepada tuan punya ladang untuk jadi haiwan membajak, atau dikekalkan dalam kandang untuk biak baka.

Tapi kalau semua tu tak boleh buat dah, jalan akhir biasanya kuda-kuda tua ini diberi suntikan akhir, ataupun kalau nak dapat manfaat sikit gunakanlah kuda-kuda tua ini sebagai tukun.

Sumber asal – Facebook DATUK NUR JAZLAN MOHAMED https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid091gdHvbcGMiGUgPaSp9yZ6JgkFe2GY5NhKV7eL5rWviRDDgP7iVLt4joy3m5AA1Rl&id=100058060149253

Datuk Nur Jazlan Mohamed ialah
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Pulai.

— BebasNews

Leave a Reply