LYDIA de Vega (tengah) menjuarai 400m Sukan SEA Manila 1981. Kiri ialah V. Angamah dan Saik Oik Cum, pemenang pingat perak dan gangsa. – Foto pinoyathlete/TB

LYDIA de Vega seorang wanita yang merendah diri, mesra berkawan dengan sesiapa pun dan kecantikan wajahnya memang asli (natural beauty), kata bekas Olahragawati Kebangsaan, Datuk Zaiton Othman.

“Satu kehilangan kepada arena olahraga Asia dan saya sedih membaca berita pemergiannya kerana penyakit kanser. Tidak sangka secepat itu bagi seorang yang berperwatakan kuat sepertinya.

“Kali terakhir kami berjumpa dalam Sukan SEA Singapura 1993 ketika saya sudah bersara sebagai atlet dan berkhidmat dengan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya kepada BebasNews, hari ini.

Zaiton yang bergandingan dengan Datuk Paduka Mumtaz Jaffar, Saik Oik Cum dan V. Angamah menewaskan rangkaian Filipina termasuk Ratu Trek Asia itu dalam 4×100 dan 4×400 meter Sukan SEA Manila 1981 sambil membaharui rekod kebangsaan, 46.42 saat dan rekod Asia, 3 minit 41.35s.

Mantan Pesuruhjaya Sukan ini turut teringat satu laporan akhbar yang dibacanya mengenai semangat pantang menyerah Lydia ketika memotong G. Shanti dari Malaysia dalam perlumbaan 200m Sukan SEA Singapura itu.

ZAITON Othman turut memenangi heptatlon Sukan SEA Manila 1981 di tanah air Lydia de Vega.

“Shanti telah mengalahkannya dalam 200m Sukan SEA Manila 1991. Kata Lydia dalam akhbar itu, “ooh tidak sekali lagi. Tenangkan diri dan lari sahaja”. Kali ini dia menang di Singapura sedangkan Shanti sudah di depannya. Satu perlumbaan yang cantik,” kata Zaiton.

Shanti menang pada 1991 dengan merakamkan 23.92 saat namun Lydia menebusnya dua tahun kemudian dengan catatan 23.37s.

Zaiton mengakui, ketika Sukan SEA Manila 1981 Francisco Tatang de Vega yang menjadi jurulatih anaknya itu, turut kagum dengan kepantasan rangkaian pelari berganti-ganti wanita negara.

ZAITON Othman (kiri), Mumtaz Jaffar, Saik Oik Cum dan V. Angamah, pemenang pingat emas 4×100 dan 4x400m Sukan SEA Manila 1981.

“Apabila ditanya bapanya, saya beritahu Encik de Vega, sayalah yang paling perlahan dalam 4x400m Malaysia dan tidak menyertai 400m sebaliknya Angamah dan Oik Cum.

“Saya sangka jawapan saya akan memberikan perang psikologi kepada Lydia dan bapanya tetapi Lydia macam jadi lebih bersemangat untuk memenangi acara itu kemudian,” katanya.

LYDIA de Vega  (dua dari kiri) bergelar Wanita Terpantas Asia 80-an menerusi Program Gintong Alay Filipina. – Foto pinoyathlete/TB

Lydia atau turut digelar Diay, meninggal dunia semalam pada usia 57 tahun selepas empat tahun bertarung dengan kanser payudara, lapor akhbar Filipina, Rappler.

Pemergian selama-lamanya pemenang 15 pingat emas Sukan SEA, Sukan Asia dan Kejohanan Asia di Pusat Perubatan Makati ini turut disahkan anak perempuan mendiang, Stephanie Paneng Mercado-de Koenigswarter dalam media sosial.

Dia bersara pada 1994 dan bekerja dengan Suruhanjaya Sukan Filipina sebelum menjadi jurulatih olahraga Singapura selama 10 tahun.

LYDIA de Vega (tengah) memenangi acara 200 meter olahraga Sukan SEA Manila 1981. Kiri ialah pemenang pingat perak, Mumtaz Jaffar. – Foto pinoyathlete/TB

Leave a Reply