Zahid Hamidi - Foto via blogspot.com

SHAH ALAM — Pihak pendakwaan menutup kesnya dalam perbicaraan rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi selepas memanggil 18 saksi.

Ia juga mengemukakan 107 barang kes dalam percubaannya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid, yang juga menteri dalam negeri dari 2013 hingga 2018.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raja Rozela Raja Toran, yang mengetuai pasukan pendakwaan, memberitahu hakim Yazid Mustafa bahawa pihak pendakwaan akan menawarkan 27 saksi kepada pembelaan.

Yazid mengucapkan terima kasih kepada semua TPR dan peguam Zahid atas kerjasama mereka dalam memastikan kes pendakwaan lengkap.

Kes pendakwaan bermula pada 25 Mei tahun lepas.

Pihak pembelaan akan membuat hujahan lisan pada 1 dan 2 Sept, manakala pihak pendakwaan pada 5 dan 8 Sept.

Zahid, yang juga presiden Umno dan Ahli Parlimen Bagan Datuk, berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontraknya sebagai pengendali pusat sehenti di China dan sistem visa asing (VLN) serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk pembekalan sistem bersepadu VLN.

Dia juga berdepan tujuh lagi tuduhan memperoleh untuk dirinya sendiri SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss franc dan USD15,000 daripada syarikat yang sama berhubung tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Tiada pernyataan dirakam daripada Hishammuddin, kata SPRM

Ketika diperiksa balas awal hari ini, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) V Mahendran memberitahu peguam Ahmad Zaidi Zainal bahawa beliau tidak merakam sebarang pernyataan daripada bekas menteri dalam negeri Hishammuddin Hussein (2009-2013).

Beliau berkata demikian walaupun nama Hishammuddin disebut dalam laporan SPRM yang mencetuskan siasatan pada September 2018.

Laporan yang dikemukakan sebagai barang kes itu mendedahkan bahawa bekas pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani mendakwa rasuah telah dibayar kepada Hishammuddin, Zahid dan pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperoleh dan melanjutkan kontrak UKSB sebagai pengendali pusat sehenti itu di China dan sistem VLN.

Mahendran berkata, pernyataan Hishammuddin tidak dirakam kerana namanya tidak terdapat dalam lejar yang disimpan oleh bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan.

“Siasatan saya meliputi Hishammuddin tetapi tiada pernyataan dirakam daripadanya kerana tiada bukti rasuah,” katanya.

Tan sebelum ini mendedahkan bahawa antara 2014 dan 2018, bayaran dibuat kepada pelbagai menteri, ahli politik dan penjawat awam, yang direkodkan dalam lembaran hamparan di komputer ribanya.

Mahendran menolak cadangan Zaidi bahawa kes Zahid adalah pendakwaan terpilih dan penganiayaan bermotifkan politik.

Beliau juga tidak bersetuju dengan Zaidi bahawa Zahid hanya menerima sejumlah RM100,000 dua kali daripada UKSB.

Pasukan undang-undang Zahid mengemukakan pembelaan bahawa wang yang diterima daripada UKSB adalah sumbangan politik.

Diperiksa semula oleh TPR Zander Lim, Mahendran berkata, rasuah yang diambil Zahid telah disenaraikan dalam pernyataan saksinya yang dibacakan semalam.

Sumber asal — https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/08/11/bicara-rasuah-zahid-pendakwaan-tutup-kes-selepas-panggil-18-saksi/

— BebasNews

Leave a Reply