THAILAND, Tajikistan dan Trinidad & Tobago serta Malaysia akan ‘bertempur’ di Chiang Mai, bulan depan. – Foto FAM

SATU jiran Asia Tenggara, satu dari Asia Tengah dan satu lagi sejauh Carribean atau ‘Trio T’ disahkan sebagai antara tiga lawan terbaharu Harimau Malaya dalam kalendar perlawanan bola sepak antarabangsa, bulan depan.

Mereka ialah tuan rumah, Thailand yang menghuni ranking ke-111 dunia, Tajikistan (108) dan Trinidad & Tobago (101) dalam format kalah singkir dua kali siri perlawanan tahap 1 di Chiang Mai pada 20 hingga 26 September ini.

Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon selepas layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sebagai naib juara Kumpulan E kelayakan pusingan ketiga pada 14 Jun lalu, menghuni ranking ke-147 dunia.

Warga Korea Selatan itu berkata dalam laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), “peluang berdepan pasukan-pasukan yang lebih baik ranking dunianya, sudah pasti wajar dimanfaatkan untuk meningkatkan prestasi dan kualiti pasukan negara.

“Selepas layak ke Piala Asia, kami perlu terus fokus dan memandang ke hadapan mulai dua perlawanan di Chiang Mai, September ini, seterusnya Piala AFF 2022 (21 Disember ini hingga 17 Januari 2023) sebagai perjalanan persiapan ke pusingan akhir kejohanan itu.

HARIMAU Malaya diketuai Syafiq Ahmad (berdiri, kanan) membelasah Bangladesh 4-1 dalam perlawanan terakhir mereka. – Foto FAM

“Selain mendapatkan keputusan positif di Chiang Mai nanti, saya mahu memperkemaskan corak dan falsafah permainan Harimau Malaya ke tahap yang lebih baik dan sempurna,” kata Pan-gon yang menerajui skuad negara mulai 17 Februari lalu, menggantikan Tan Cheng Hoe.

Format perlawanan kalah singkir di Chiang Mai membabitkan empat pasukan ini ialah dua perlawanan separuh akhir dengan pemenangnya ke final dan yang kalah, akan menentukan tempat ketiga dan keempat.

Siri perlawanan tahap 1 antarabangsa anjuran Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) ini akan dilangsungkan di Stadium Ulang Tahun Ke-700, Chiang Mai.

Kali terakhir menentang Thailand, Malaysia menang 1-0 pada 15 Jun 2021 di Dubai dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Harimau Malaya juga menewaskan Tajikistan 1-0 dalam persahabatan antarabangsa pada 19 November 2019 di Bukit Jalil namun belum pernah berdepan Trinidad & Tobago – peserta pusingan akhir Piala Dunia 2006 di Jerman.

FAISAL Halim (kanan) menyumbat satu gol terhadap Turkmenistan di Bukit Jalil, 8 Jun lalu.

Daripada tujuh perlawanan persahabatan mahupun kelayakan setakat ini, skuad Pan-gon mengumpul lima kemenangan terhadap Filipina 2-0, Brunei 4-0, Hong Kong 2-0, Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 4-1.

Selebihnya mereka dikalahkan Singapura dan Bahrain 2-1, masing-masing di Stadium Nasional Singapura dan Stadium Nasional, Bukit Jalil.

SYAMER Kutty Abba (kiri) tonggak bahagian tengah Harimau Malaya dalam kemaraan ke Piala Asia 2023. – Foto FAM

 

Leave a Reply