Suspek menendang perut pelajar ketika melakukan serangan di Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras, Kuala Lipis, Pahang pada petang 11 Ogos 2022. (Tangkap layar ihsan media sosial)

LIPIS — Dua daripada lima lelaki Melayu berumur sekitar 30-an yang menyerang pelajar dan mencederakan guru Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras, Kuala Lipis pada pukul 5.10 petang 11 Ogos berjaya diberkas menerusi serbuan oleh polis Lipis dalam daerah lain di kawasan Damak, Jerantut awal pagi semalam.

Tiga lagi lelaki penyerang yang masih bebas itu pula masih terus diburu oleh polis bagi membantu menyelesaikan kes jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, tangkapan dua suspek itu hasil tindakan sepasukan polis yang diketuai oleh Inspektor Mohd Razali Ismail susulan aduan mangsa, Umar Naufal Azman merupakan pelajar pusat tahfiz itu selepas diserang.

SUPT. AZLI MOHD NOOR

Menurut Azli, kejadian serangan itu bermula dengan kehadiran kesemua lima suspek bersama seorang pelajar tahfiz dengan menaiki pickup jenis Isuzu dan tiga daripada penyerang keluar dari kenderaan lalu menyerang Umar Naufal dan seorang guru.

Kata Azli, dalam kejadian itu guru berkenaan, Ustaz Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid telah cedera mata kanan mendapat empat jahitan, cedera di tangan dan lebam di badan, manakala pelajar yang turut diserang mengalami kesakitan di badan.

“Punca kejadian akibat tidak puas hati terhadap ustaz tersebut kerana pembayaran makanan di pusat tahfiz,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurutnya,  kedua-dua suspek yang diberkas mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, juga positif dadah jenis ‘methamphetamine’ ditahan di lokap Balai Polis Kuala Lipis untuk sisatan lanjut.

Beliau berkata, kedua-dua suspek itu telah mendapat perintah tahanan reman oleh Mahkamah Majistret Kuala Lipis untuk siasatan lanjut selama empat hari bermula 12 hiungga 15 Ogos 2022.

Seorang ustaz (berpakain putih) dibelasah oleh sekumpulan penyerang di Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Kuala Lipis.

Azli berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan pencerobohan kawasan serta turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BebasNews

Leave a Reply