Selepas tiga tahun bercinta, hari ini Aizat Amdan dan Elyssa Alia sah sebagai suami isteri.

TAHNIAH diucapkan kepada penyanyi Aizat Amdan, 33, kerana sudah bergelar suami kepada Elyssa Alia Illias, 34, dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang diadakan di A-Park, Puchong, hari ini (14 Ogos).

Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Leftenan Kolonel (B) Illias Moideen disaksikan jurunikah, Ustaz Idrus Mohd Shahlan dengan mas kahwin RM300, kira-kira pukul 9.17 pagi tadi.

Pihak pengantin lelaki menghantar tiga dulang hantaran, manakala pengantin perempuan membalas dengan lima dulang dan jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Aizat Amdan dinikahkan oleh bapa Elyssa Alia dan dengan sekali lafaz, penyanyi itu sah menjadi menantu kepada Illias Moideen.

Aizat ketika ditemui usai majlis berkata, perkahwinan ini adalah permulaan baharu untuk dirinya dan isteri.

“Ini adalah fasa dan permulaan baharu buat kami berdua. Dah lama orang tanya saya soalan mengenai jodoh, jadi inilah jodoh saya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan berbulan madu, Aizat dan Elyssa yang sebelum ini merupakan pengurusnya, berhasrat untuk ke Tulum, Mexico.

“Saya ada angan-angan untuk membuka studio di tepi pantai, manakala Elyssa pula ada impian untuk membuka sekolah menyelam serta vila di tepi pantai.

Aizat mahu membawa Elyssa Alia berbulan madu di Mexico.

“Insya-Allah, November ini saya akan ke Los Angeles atas urusan kerja dan dah alang-alang, akan ke Tulum untuk bercuti,” jelasnya yang menjalin hubungan cinta selama tiga tahun dengan Elyssa sebelum mengambil keputusan bernikah dan merisik pada Februari lalu.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah kira-kira 100 tetamu termasuk keluarga, rakan-rakan dan media.

Sebagai penghargaan, Aizat juga sebelum ini melancarkan lagu berjudul Hanya Kita Dua yang dihasilkan dan didedikasikan buat isterinya. — BebasNews

Leave a Reply