Siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell di Aman Central, Alor Setar mendapat sambutan hangat daripada peminat siaran radio Suria FM.

TIAP kali mendengar segmen Suria Cinta di stesen radio Suria FM, pasti pendengar terbuai dengan kelunakan suara penyampainya, siapa lagi kalau bukan DJ Lin.

Alunan dan gemersik suara DJ Lin membaca coretan kiriman pendengar adakalanya membuatkan kita terasa bahawa kisah itu dekat dengan diri dan turut bersimpati dengan si pengirim yang dikecewakan itu.

Dek populariti segmen tersebut jugalah DJ Lin berjaya dipilih sebagai Penyampai Radio Popular Berita harian yang ke-33 pada tahun 2019 dan ke-34 (2021).

DJ Lin yang juga Pengurus Besar stesen radio itu sepanjang Ogos ini melakukan siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell yang bermula sejak 6 Ogos lalu.

DJ Lin menghampiri pendengar di sebelah utara sewaktu singgah di sebuah restoran.

Baru-baru ini (13 Ogos) sewaktu DJ Lin dan penyampai Suria FM ke Aman Central, Alor Setar, Kedah dan dalam perjalanan pulang ke ibu kota, mereka sempat singgah di restoran Fullamak Sup Power, Tanjung Bendahara, Alor Setar di Kedah.

DJ Lin atau nama penuhnya Roslinda Abd. Majid rasa terharu apabila seorang individu lengkap berjubah putih dan berkopiah yang menegur serta memberitahu yang dia adalah pendengar stesen Suria FM dan Suria Cinta khasnya.

“Saya terharu apabila ustaz memberitahu dia juga pendengar Suria FM dan Suria Cinta khasnya sebaik saya menyapa mereka yang menegur saya.

“Bagi saya, mewakili Suria FM ini adalah satu penghargaan buat kami kerana mendapat sokongan semua lapisan masyarakat sebagai pendengar setia kami,” katanya yang turut menghadiahkan kemeja-T kepada pendengar tersebut.

Memberi sedikit ole-ole kepada pendengar setia Radio Suria FM sebagai tanda penghargaan.

DJ Lin berkata, dia bagaikan tak percaya pada mulanya sebaik dimaklumkan perkara itu. Katanya, sokongan seperti itu membuatkan keluarga Suria FM terus bersemangat untuk memberikan yang terbaik.

“Di pihak kami akan terus berusaha memastikan info dan lagu yang disajikan kepada pendengar memberikan manfaat,” katanya.

Terdahulu, lelaki dalam lingkungan usia 50-an yang dipercayai imam di kawasan berkenaan singgah menikmati hidangan di kedai yang sama bersama beberapa rakannya.

Hampir 5,000 pengunjung hadir ke Aman Central, Alor Setar menyaksikan persembahan gandingan artis 90-an seperti Alim Kris, Rahmad Mega, Safura, Poey dan barisan artis muda termasuk Haqiem Rusli, Tajul, Afieq Shazwan dan Dolla.

DJ Lin terharu bila mendapat tahu pendengar siaran Suria FM dan Suria Cinta dalam kalangan pelbagai peringkat usia.

Para penyampai radio Suria FM dan barisan artis daripada pelbagai genre muzik itu akan meneruskan siri Jelajah 90 Suria Memang Cantik Kak Ell ke Paradigm Mall, Johor Bahru (20 Ogos) dan IOI Mall 2, Putrajaya (27 Ogos). Sepanjang persinggahan itu, pelbagai hadiah menarik disediakan untuk penonton. — BebasNews

Leave a Reply