Datuk Adnan Mat - Foto CUEPACS
By Akmal Daniel

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap dapat menerima khabar gembira berkaitan cadangan kenaikan gaji minimun RM1,800 hujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, cadangan itu turut melibatkan elaun tambahan bagi penjawat awam menjadi antara fokus yang mungkin boleh dijadikan keutamaan kerajaan buat masa ini.

“Khabar gembira itu diharap dapat direalisasikan kerajaan pada majlis Perhimpunan Perdana Penjawat Awam pada 30 Ogos ini.

“Cadangan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800 sebulan perlu dilaksanakan segera dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat pasca pandemik ini,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis Perhimpunan dan sambutan Kempen Jalur Gemilang Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Rabu.

Adnan berkata, elaun tambahan berjumlah RM150 juga boleh ditambah dalam Imbuhan Tetap Penjawat Awam atau Elaun Perumahan.

“CUEPACS berharap ada pengumuman gembira akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam majlis perhimpunan hujung bulan ini.

“Tuntutan ini selari dengan kenaikan kos sara hidup dan ia dilihat relevan dengan keadaan ekonomi semasa yang semakin menghimpit penjawat awam,” ujarnya.

Beliau berkata, ketika ini penjawat awam menerima gaji minimum RM1,200 selain beberapa elaun yang menjadikan jumlah RM1,900 sebulan.

Katanya, kenaikan gaji minimum kelak boleh meningkatkan taraf hidup dan kuasa beli dalam kalangan penjawat awam.

“Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2025.

“Perkara ini sudah disuarakan CUEPACS dalam pertemuan bersama Perdana Menteri sebelum ini dan diharap ia dapat direalisasikan,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply