MALAYSIA kehilangan seorang tokoh sukan sebagai atlet mahupun pentadbir ulung dengan pemergian buat selama-lamanya Datuk Wira Dr. Gan Boon Leong yang digelar ‘Bapa Bina Badan Malaysia’.

Boon Leong dilaporkan media, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 88 tahun di Kota Laksamana, Melaka kira-kira pukul 1.30 pagi ini.

Mantan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir dan Duyong, Melaka ini meninggalkan seorang balu, Datin Chong Kin Yock dan enam anak termasuk bekas Adun Duyong, Datuk Gan Tian Loo.

Laman Facebook rasmi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hari ini mengucapkan takziah atas pemergiannya kepada ahli keluarga mendiang.

AKSI tersendiri Gan Boon Leong pada zaman kegemilangannya sebagai atlet bina badan sekitar 1950-an. – Foto MOM
GAN Boon Leong sering digelar ‘Bapa Bina Badan Malaysia’ selain mengumpul pelbagai kejuaraan selaku atlet. – Foto MOM

“Pemergiannya yang juga merupakan mantan Pengerusi dan Presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM) dari 1987 hingga 2002 dan 2003-2022 serta Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), dianggap kehilangan besar kepada kedua-dua sukan ini.

“Boon Leong memulakan kariernya sebagai atlet bina badan pada 1940-an di Melaka malah mengusahakan penubuhan Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Melaka pada 1949.

“Beliau di atas sebidang tanah yang diwarisi daripada neneknya, mendaftarkan dan mendirikan pejabat persatuan itu di alamat No. 43, Jalan Kubu, Melaka.

“Sebagai atlet, dia membolot hampir semua gelaran bina badan ketika itu antaranya Mr. Melaka dan Mr. Malaya serta Mr. Asia yang dimenangi di Jakarta, Indonesia pada 1956.

“PBBM yang diterajuinya juga menjadi tuan rumah Kejohanan Bina Badan  Asia 1987, 1993 dan 1994, Kejohanan Bina Badan Amatur Dunia 1990 dan 2000, Kejohanan Klasik Pro Am ASEAN 1992 dan Kejohanan Bina Badan Komanwel 1998,” lapor laman itu.

GAN Boon Leong (tujuh dari kiri) diumumkan menjadi Ahli Dewan Kemasyhuran MOM pada 7 Disember 2017. – Foto MOM

Selain PBBM, Boon Leong dipilih menyandang jawatan-jawatan kanan badan induk sukan kebangsaan dan antarabangsa seperti Presiden PABM dari 1987 hingga 2010.

Turut dipegangnya ialah Naib Presiden Persekutuan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia (ABBF) dari 1986 hingga 2022 dan Naib Presiden Persekutuan Powerlifting Asia (APF), 1990-2010.

Sebagai pengiktirafan atas sumbangan dan jasa beliau kepada sukan bina badan, Persekutuan Bina Badan dan Kecergasan (IFBB) menganugerahkannya, ‘Mr. Universe Kehormat’ ketika Kejohanan Amatur Dunia 2000 di Melaka.

Boon Leong juga pernah diumumkan sebagai Ahli Dewan Kemasyhuran MOM pada 2017 di bawah kategori atlet.

GAN Boon Leong aktif sebagai atlet dan pentadbir bina badan dan angkat berat Malaysia dan antarabangsa. – Foto MOM

 

Leave a Reply