Students in a classroom
Photo by designer here on Pexels Gambar hiasan
Oleh Dr Aizan Ali @Mat Zin

KEHIDUPAN manusia penuh dengan kepelbagaian dan sunyi daripada
keseragaman yang total. Benar, adakala wujud keseragaman namun tetap
ada kepelbagaian dalam keseragaman tersebut. Contohnya keseragaman pakaian
sesebuah institusi seperti sekolah. Seragam dari sudut warna dan rekaan namun
saiz dan sikap pemakai adalah pelbagai. Pelaksanaan pakaian seragam turut
melambangkan keterbukaan dalam meraikan kepelbagaian latar belakang setiap
individu.

Sikap keterbukaan amat penting dalam kehidupan setiap insan. Agama Islam
mendidik kita dengan keterbukaan. Keterbukaan dari sudut aqidah difahami
daripada wahyu al-Quran dalam surah al-Kafirun ayat 6 yang bermaksud: bagi
kamu agama kamu dan ‘bagiku agamaku’. Ia merupakan kemuncak keterbukaan
dalam meraikan kepelbagaian kepercayaan tanpa memaksa orang lain mengikut
kepercayaan yang dipegang. Malah ayat ini menjadi asas kepada konsep
toleransi dalam Islam. Sikap toleransi yang menghormati atau menerima
pendapat atau pendirian orang lain yang berbeza dengan pendirian atau
pendapat sendiri.

Di samping itu, Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang
bermaksud: wahai manusia! Sesungguhnya Kami cipta kamu lelaki dan
perempuan dan kami jadikan kamu pelbagai bangsa dan kabilah agar kamu
saling mengenali, sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah
adalah yang paling bertakwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui. Wahyu ini
menegaskan kewujudan kepelbagaian budaya dan hikmahnya adalah manusia
boleh saling mengenali dan memberi manfaat antara satu sama lain.
Realiti kehidupan masyarakat Malaysia terdiri daripada warga yang datang dari
pelbagai rumpun, bangsa, bahasa, agama dan budaya. Justeru, amalan sikap
keterbukaan meraikan kepelbagaian amat penting, malah ia menjadi pemangkin
perpaduan, keharmonian dan kemakmuran keluarga Malaysia ibarat telur
sesangkak, pecah sebiji pecah semua.

Kelestarian umat bertamadun amat bergantung kepada ketinggian adab setiap
individu dalam melayari kehidupan bermasyarakat. Sensitiviti budaya dan
agama perlu difahami oleh setiap ahli masyarakat demi mengelak ketegangan
hubungan dan mengundang permusuhan. Sakit sama mengaduh, luka sama
menyiuk akan mengukuhkan hubungan erat sesama kita. Ia terbukti apabila ada
individu yang tidak bertanggungjawab menyentuh sensitiviti agama misalnya,
seluruh masyarakat akan mengecam dan memusuhinya. Masyarakat akan jadi
biadab tanpa adab dan tata susila yang murni.

Adab tidak hadir tanpa ilmu dan amal. Ia bagai isi dengan kuku. Akal yang sihat
jika disinari dengan ilmu yang benar akan membenihkan adab yang disuburkan
dengan amalan yang menghiasi akhlak dan tingkah laku yang mendamaikan
serta menyenangkan hati yang mendekati. Ali bin Abi Talib berkata: teman
manusia yang sebenar adalah akal dan musuhnya yang celaka adalah jahil.
Manakala Aristotle pula mengatakan bahawa adab sopan lebih penting daripada
makan dan minum.

Mutakhir ini terdapat beberapa orang individu yang mengaku Islam telah tampil
dengan berani menghina agama Islam di khalayak ramai sama ada melalui
hantaran di media sosial atau secara fizikal tetapi kemudiannya dirakam dan
disebarluaskan melalui media sosial. Fenomena ini amat menyedihkan dan
menonjolkan ketandusan ilmu dan adab dalam kalangan ahli keluarga Malaysia.
Namun jika difikirkan secara mendalam, kejadian Islam dihina oleh orang Islam
agak janggal dan menimbulkan pelbagai persoalan dan keraguan. Kenapa,
mengapa dan apa yang ingin dicapai oleh penghina-penghina Islam ini sambil
mengaku beragama Islam? Adakah mereka ingin merosakkan agama Islam dari
dalam? Adakah mereka sekadar “cari makan” dengan “populariti” di media
sosial? Oleh itu, “virus” media sosial kelihatan lebih bahaya berbanding Covid-19
kerana ia bukan sekadar membunuh intelek malah adab dan tata susila
pengguna. Tuntasnya, keterbukaan dalam meraikan kepelbagaian ada batas dan
sempadan yang tersendiri. Batas dan sempadan adalah adab dan tata susila.
Ayuh keluarga Malaysia kita berhijrah kepada kualiti hidup yang lebih beradab
dan bertamadun. Bangsa cemerlang akhlak adalah bangsa bertamadun.
Wallahua’lam

Dr Aizan Ali

Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply