PARA pemain Malaysia bersorak riang selepas memenangi pukulan penalti 3-2 dengan menumbangkan juara bertahan, Iran dalam perlawanan akhir Hoki Dewan Piala Asia 2022. – Foto KHM

MALAYSIA mencipta sejarah apabila buat kali pertamanya bergelar juara Hoki Dewan Piala Asia dengan mengejutkan juara bertahan Iran 3-2 menerusi pukulan penalti selepas terikat 4-4 dalam perlawanan akhir edisi 2022, hari ini.

Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand menyaksikan sejarah tersebut hasil jaringan Muhamad Izham Azhar, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius sambil penjaga gol, Mohd. Khairul Afendy Kamaruzaman menyekat satu percubaan lawan.

Empat puluh minit permainan masa sebenar pula merakamkan dua gol oleh Muhammad Ashran Hamsani, Shello dan Mohd. Norhafizie Jamil Azomi buat Malaysia, pasukan di ranking ke-21 dunia terhadap Iran, ketiga dunia.

Bonus juga buat pasukan negara apabila Norsyafiq Sumantri dipilih selaku pemain terbaik perlawanan, lapor laman Facebook rasmi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

KESUNGGUHAN dan semangat pantang menyerah berhak dipuji, kata ketua jurulatih, Amin Rahim. – Foto KHM

Ketua jurulatih negara, Muhamad Amin Rahim berkata, “alhamdulillah saya bersyukur dengan kejayaan kami mencipta sejarah hoki Malaysia walaupun dalam acara dewan.

“Kesungguhan pemain bermain bermati-matian untuk mencapainya  harus diberikan pujian. Inilah hasil usaha keras mereka selepas bermain tujuh perlawanan dalam lapan hari yang memang bukan mudah.

“Hoki Dewan wajar terus diberikan perhatian kerana Malaysia mempunyai potensi besar untuk ke Piala Dunia,” katanya dalam laman berkenaan.

Sementara itu, skuad wanita Malaysia meraih tempat ketiga kejohanan ini selepas menundukkan Kazakhstan 2-0 hasil jaringan Iren Hussin dan Nur Aisyah Yaacob pada minit ke-15 dan 39.

AKSI sengit di depan pintu gol Iran akibat asakan pemain-pemain Malaysia (jersi kuning). – Foto KHM

 

Leave a Reply